fbpx

Piala Malaysia: JDT juara tewaskan Selangor 2-1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan JDT menjuarai perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara JDT menentang Selangor, di Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini. Foto: SHIDDIEQIIN ZON

HASRAT pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) ‘sapu bersih’ semua kejuaraan domestik Liga Malaysia (Liga M) musim ini menjadi kenyataan selepas menjulang trofi Piala Malaysia dengan menewaskan Selangor 2-1 pada pentas final sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, skuad Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio membariskan kesebelasan dengan jentera serangan berbisa terdiri daripada Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Foristieri.

Skuad Selangor bimbingan Tan Cheng Hoe juga membariskan pemain utama seperti Herlison Caion, Brendan Gan dan Mukhairi Ajmal dalam usaha memburu trofi Piala Malaysia buat kali ke-34.

Namun, Caion mensiakan peluang keemasan selepas meraih peluang satu lawan satu sebanyak dua kali pada awal perlawanan tetapi percubaan yang dilakukan sedikit tersasar.

JDT dilihat ‘mati akal’ dengan tekanan yang diberikan oleh pasukan lawan sehingga mengakibatkan pertahanan, Matthew Davies melakukan kesilapan menjatuhkan Caion dalam kotak penalti pada penghujung babak pertama.

Kesempatan tersebut digunakan sepenuhnya oleh Caion untuk menjaringkan gol sekali gus menewaskan penjaga gol JDT, Farizal Marlias.

Namun, kegembiraan penyokong Merah Kuning tidak bertahan lama apabila Bergson menanduk masuk gol penyamaan pada masa kecederaan babak pertama hasil gerakan sepakan sudut yang diambil Arif Aiman.

Bersambung pada babak kedua, JDT dilihat lebih banyak mendominasi perlawanan dan berjaya menambah jaringan menerusi ledakan cantik yuang dilakukan oleh Forestieri pada minit ke-59.

Terdesak untuk memburu gol penyamaan, Cheng Hoe merombak pasukan dengan memasukkan pemain gantian seperti Aliff Haiqal Lau, Danial Asri, Syahir Bashah dan Nor Hakim Hassan.

Namun, pasukan JDT terus menguasai perlawanan dengan percubaan terbaik Selangor menerusi sepakan yang dilakukan oleh Danial Asri pada minit ke-84 tetapi mudah diselamatkan Farizal.

Keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan sekali gus mengesahkan kejuaraan Piala Malaysia ketiga buat JDT selepas edisi 2017 dan 2019.

Malah, JDT telah melengkapkan gelaran trofi musim ini selepas terlebih dahulu menjulang Piala Sumbangsih, Piala FA dan Liga Super.

Selangor pula terus kemarau kejuaraan untuk tahun ketujuh dengan kali terakhir menjuarai trofi Piala Malaysia edisi 2015. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI