JARINGAN Bergson Da Silva pada masa tambahan babak pertama menyelamatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) daripada detik sukar apabila menamatkan 45 minit pertama 1-1 di Stadium Nasional Bukit Jalil sebentar tadi.
Berdasarkan perkiraan atas kertas dan ramalan awal, segalanya lebih condong kepada Harimau Selatan sebaliknya cerita 45 minit pertama berpihak kepada Red Giants yang dilihat lebih bernafsu untuk memasuki bilik persalinan dengan kelebihan 1-0.
Sepanjang aksi berlangsung, trio Selangor, Mukhairi Ajmal Mahadi, Herlison Caion dan Hein Htet Aung menjadi tiga individu paling menonjol, namun peluang diperolehi gagal disempurnakan dengan jaringan.
Ketika aksi babak pertama hampir berakhir tanpa jaringan, pengadil bertugas, Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti buat Selangor dan kesempatan pada minit ke-45 itu disempurnakan dengan baik oleh Caion.
Bagaimanapun, beberapa saat sebelum pengadil meniup wisel penamat, Bergson muncul tepat pada masanya untuk menghadiahkan gol penyamaan buat JDT. – KOSMO! ONLINE