PASUKAN Johor Darul Ta’zim (JDT) mengekalkan kesebelasan terbaik untuk aksi final Piala Malaysia bertemu Selangor FC dengan jentera serangan berbisa terdiri daripada Bergson da Silva, Arif Aiman Hanapi dan Fernando Foristieri.
Benteng pertahanan skuad Harimau Selatan pula dibarisi oleh Matthew Davies, La’vere Corbin-ong, Shahrul Saad dan Feroz Baharudin.
Di jentera tengah pula kekal dikemudi trio ampuh menerusi Afiq Fazail, Natxo Insa dan Leandro Velazquez dengan penjaga gol, Farizal Marlias diberi penghormatan memakai lilitan kapten.
Namun, apa yang mengejutkan kali ini ketiadaan pemain sensasi skuad kebangsaan, Safawi Rasid dalam pasukan utama ataupun di bangku simpanan.
Sementara itu, kem Selangor kendalian Tan Cheng Hoe pula membariskan kesebelasan yang sama dengan formasi 4-4-2 dengan jentera serangan dibarisi duo import, Hein Htet Aung dan Herlison Caion.
Benteng pertahanan pula ampuh dengan kehadiran Quentin Cheng, Richmond Ankrah, Shahrul Nazeem Zulpakar, Fazly Mazlan.
Posisi enjin tengah kekal menjadi milik Brendan Gan, Mukhairi Ajmal Alex Agyarkwa dan Baha Abdelrahman
Dijangka 80,000 penyokong membanjiri SNBJ pada aksi final edisi ke-96 kali ini melibatkan Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC.
JDT kini memburu trofi Piala Malaysia buat kali pertama sejak edisi 2019 manakala Selangor pula mahu menamatkan penantian tujuh tahun selepas kali terakhir menang pada musim 2015. – KOSMO! ONLINE