WAHAI sekalian rakyat Malaysia, ingatlah tarikh-tarikh ini.
29 Julai 2020, Tan Sri Musa Aman bersama kumpulannya dakwa miliki majoriti untuk bentuk kerajaan di Sabah.
30 Julai 2020, Datuk Seri Shafie Apdal umum pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) selepas diperakukan oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Juhar Mahiruddin.
17 Ogos 2020, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR) menetapkan tarikh Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi negeri Sabah.
Dan pada 26 September 2020, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) berjaya membentuk kerajaan.
Secara totalnya, 59 hari rakyat Malaysia khususnya orang Sabah disajikan dengan kisah politik yang maha hebat.
Tiada sekatan rentas daerah, tiada had berkumpul dan boleh menaiki kapal terbang ke sana ke sini. Semuanya terkawal. Apa yang penting kempen perlu digerakkan.
Gerombolan rakan-rakan sekutu politik dari Tanah Semenanjung juga datang meramaikan majlis. Ada yang ikut prosedur operasi standard (SOP) , tapi ramai yang buat-buat tak tahu.
Sekali lagi, semuanya terkawal. Selesai berkempen, balik semula ke Semenanjung dan tidak perlu kuarantin wajib.
Maka PRN Sabah pun berakhir dan Datuk Seri Hajiji Noor selesai mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri.
Wahai rakyat Malaysia, di sini kisah kita bermula. Pada 27 September 2020, arahan saringan wajib bagi semua penerbangan dari Sabah mula dikuatkuasakan.
Hasilnya, satu persatu kes positif dikesan. Namun, banyak juga kes yang terlepas ke komuniti. Tuduh menuduh pun berlaku antara orang politik dan masing-masing cuba mencari salah.
Hakikatnya, semua sudah terlambat. Kluster demi kluster dicatat dan kematian demi kematian direkodkan. Menteri, jururawat, murid sekolah, petugas keselamatan dan pekerja kedai antara yang disahkan positif Covid-19.
Nama Sabah pula tiba-tiba hangat diperkatakan. Dari sebuah negeri yang terkenal sebagai pusat pelancongan, ia bertukar status menjadi negeri paling berisiko di Malaysia.
Statistik dari 1 September hingga 10 Oktober lalu, Sabah mencatat 3,423 kes positif, iaitu lebih 20 peratus daripada jumlah keseluruhan 15,096 kes yang direkodkan sejak awal tahun ini.
Peningkatan kes dan pertambahan kluster menyebabkan rakyat Sabah ‘dikurung’. Tidak terkecuali menerima nasib sama ialah 9.4 juta rakyat Lembah Klang terdiri daripada penduduk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya.
Keputusan ini cukup pahit tetapi perlu ditelan. Semua orang terkesan. Sekolah terpaksa ditutup, tempoh berniaga dihadkan dan pergerakan terbatas. Kepada para pencari rezeki, kuatkan semangat dan teruskan bersabar. Ini bukan salah kita.
Seorang teman yang juga pencinta bahasa, Mabulmaddin Shaiddin ada menulis, dalam politik, hampir tiada rasa bersalah. Mengkhianati guru, merosakkan kepercayaan sahabat dan memungkiri sumpah setia bukanlah sesuatu yang terlarang – bahkan diterima baik.