BEIJING – Sepasukan ahli arkeologi di China menemui pelbagai khazanah menakjubkan selepas membawa naik bangkai sebuah kapal karam yang berusia 150 tahun dari dasar Sungai Yangtze, lapor akhbar Mirror UK kelmarin.
Kapal yang dikenali sebagai Yangtze Estuary No. 2 sepanjang 38 meter itu adalah salah satu bangkai kapal kayu purba terbesar dan paling terpelihara pernah ditemui di China.
Di bahagian atas kapal tersebut, ahli-ahli arkeologi menemui beberapa periuk dan mangkuk buatan China dengan hiasan seni halus serta peninggalan budaya lain di empat kabin berasingan.
Koleksi besar artifak budaya seperti barangan tanah liat berwarna ungu, sisa baldi kayu, tiang, tangki hookah (shisha) dari Vietnam dan sauh besi turut ditemui di dalam dan sekitar badan kapal.
Jurucakap Pentadbiran Warisan Budaya Kebangsaan China memberitahu akhbar Global Times bahawa keadaan kapal itu sangat baik dan pelbagai khazanah yang ditemui di atas kapal tersebut adalah amat penting untuk penyelidikan sejarah pembinaan kapal, industri perkapalan serta pengeluaran seramik di China dan dunia.
Saintis menemui kapal karam itu pada 2015 dan telah menjalankan penyiasatan dan penerokaan arkeologi bawah air selama tujuh tahun.
Pada 21 November lalu, kapal kayu itu dibawa naik ke darat buat kali pertama dalam operasi pada waktu malam yang mengambil masa kira-kira tiga jam.
Petugas menggunakan 22 keluli melengkung gergasi untuk mengeluarkan kapal itu, termasuk sebuah caisson gergasi (peti kedap air) yang dibina khusus untuk operasi dasar laut.
Secara keseluruhan, berat keseluruhan beban direkodkan melebihi 8,000 tan, lapor Global Times.
Saintis mengesahkan bahawa kapal kayu itu berasal dari zaman Dinasti Qing semasa pemerintahan Maharaja Tongzhi, iaitu antara tahun 1862 hingga 1875. – Agensi