KETUA jurulatih skuad hoki negara, Arul Selvaraj tidak mahu menganggap status sebagai pasukan ranking tertinggi kejohanan sebagai jalan mudah untuk memenangi Piala Negara-Negara FIH.
Situasi itu menyaksikan Malaysian Tigers yang berada di ranking ke-10 dunia, menjadi pilihan utama kejohanan edisi pertama tersebut di Potchefstroom, Afrika Selatan bermula esok hingga 4 Disember ini.
Bagaimanapun, Arul tidak mahu para pemain selesa dengan status itu dan menuntut mereka memberikan aksi terbaik menjelang aksi pertama Kumpulan B menentang Korea Selatan di University of North West petang esok.
“Kadang-kadang ranking tidak membawa apa-apa makna kerana pemain yang di atas padang itu paling penting. Saya percaya Korea akan membalas dendam terhadap kami,” katanya.
Dalam masa sama, Arul mengingatkan anak-anak buahnya supaya tidak memandang rendah kemampuan Korea Selatan biarpun menang 3-2 pada final Piala Sultan Azlan Shah 2022 awal bulan ini.
“Saya dengar Korea membawa dua lagi pemain yang lebih berpengalaman untuk kejohanan ini. Saya percaya mereka mahu membalas dendam.
“Namun, saya dapat lihat pemain lebih yakin. Saya beritahu mereka supaya lebih agresif serta yakin apabila berada di atas padang,” jelasnya.
Malaysia berada pada keadaan terbaik untuk memulakan kempen selepas mencatat seri 1-1 dengan Afrika Selatan pada aksi pemanas badan kelmarin.
Juara kejohanan itu akan meraih tiket automatik beraksi dalam saingan Liga Pro FIH bagi musim 2023/2024.