KETIKA dunia K-pop masih hangat dengan cerita pengakuan bekas penyanyi kumpulan Stellar, Gayoung yang mendakwa dipaksa tampil seksi, kini timbul pula kisah lain yang tidak kurang panasnya.
Baru-baru ini bekas ketua Nine Muses, Sera mendedahkan pengundurannya daripada kumpulan itu bukan atas kerelaan sendiri, namun didesak pihak agensi.
“Sewaktu Nine Muses menjayakan persembahan pertama, agensi menyuruh kami memakai garter belt (tali penyambung pakaian dalam dengan stoking panjang).
“Sebenarnya saya tidak tahu garter belt itu apa. Ketika melihat diri sendiri di dalam cermin sedang memakainya, saya menangis,” ujarnya ketika muncul dalam program Miss Back.
Disebabkan tidak dapat berhenti menangis, proses penggambaran program muzik yang disertai mereka terpaksa diberhentikan beberapa kali.
Kejadian tersebut sekali gus menjadi penyebab dia dipaksa meninggalkan kumpulan Nine Muses.
Sera mengundurkan diri daripada kumpulan itu pada 2014.
Simpati dengan nasib yang menimpa Sera dan Gayoung, netizen menyelar sisi gelap industri K-pop yang sering dibayangi isu sensitif membabitkan perlecehan seksual seperti ini.