DOHA – Bintang sensasi Brazil, Neymar terlepas baki dua aksi terakhir Kumpulan G menentang Switzerland dan Cameroon selain perlu bertarung dengan waktu untuk kembali cergas sepenuhnya.
Neymar, 30, terpaksa menghadapi detik malang itu selepas mengalami kecederaan ketika membantu Selecao menewaskan Serbia pada aksi pertama Kumpulan G di Stadium Lusail pada Jumaat lalu.
Selain khidmat penyerang Paris Saint-Germain itu, Brazil juga kehilangan servis tonggak pertahanan, Danilo untuk aksi menentang Switzerland di Stadium 974, Doha pada Selasa ini.
“Neymar dan Danilo telah melakukan imbasan Pengimejan Resonans Magnetik (MRI) dan kami mendapati ada kecederaan di bahagian ligamen pergelangan kaki kedua-dua mereka.
“Mereka akan terlepas aksi seterusnya (bertemu Switzerland). Pihak kami akan berhati-hati dalam melakukan rawatan bagi memastikan mereka boleh bermain di Piala Dunia,” kata Ketua Perubatan Brazil, Rodrigo Lasmar.
Bagi Neymar, dia sama sekali tidak akan menyerah kalah dan yakin mampu segera pulih untuk kembali membantu Brazil memburu kejuaraan keenam Piala Dunia.
“Ini adalah salah satu detik sukar dalam karier saya dan ia sekali lagi terjadi di Piala Dunia. Ia sangat menjengkelkan kerana saya berjaya harungi musim ini tanpa masalah kecederaan.
“Saya akan bangkit dan memang itulah yang saya lakukan selama ini. Saya akan kembali mendapat peluang untuk membantu negara, rakan sepasukan dan diri sendiri,” jelasnya. – AGENSI