fbpx

Doa, cinta buat Nad Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
UNGKU Ismail mengakui sedang rapat dan sanggup setiap hari menemani Nad Zainal yang sedang dirawat dalam wad ICU.

KETIKA negara meraikan pelantikan Perdana Menteri ke-10, Datuk Seri Anwar Ibrahim, industri seni tanah air pula dikejutkan dengan berita duka tentang aktres berbakat besar, Nad Zainal.

Merentap emosi. Itu yang dirasai penggiat seni tanah air pada Selasa lalu apabila menerima khabar duka Nad dilaporkan dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) sebuah hospital swasta di ibu negara kerana jangkitan kuman pada paru-paru.

Lebih membuatkan semua berduka, wanita berusia 32 tahun itu terpaksa ditidurkan selepas berlaku pendarahan pada organ sama.

Meskipun hampir seminggu berlalu, penyakit yang dialami Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin masih belum dapat dikenal pasti puncanya.

Bagi mendapatkan kesembuhan, khidmat seramai tujuh orang doktor diperlukan bagi merawat bintang filem Kami Histeria itu.

Menurut bapa aktres itu, Zainal Abidin, 63, anaknya masih bergantung dengan alat pernafasan namun telah menunjukkan perkembangan positif.

“Dua hari awal, keadaan dia memang teruk tetapi hari demi hari, makin menunjukkan sesuatu yang positif.

“Saya percaya semangatnya kuat melawan rasa sakit tersebut. Doa-doa daripada semua pihak juga antara yang mampu memberi keajaiban dalam situasi sekarang,” katanya.

Dia juga mengakui Nad pernah mengadu berasa sakit dada tetapi tidak berkongsi lanjut kerana merasakan akan sembuh dengan sendiri.

“Ini kali pertama dia sakit teruk. Memang Nad ada mengadu sakit dada tetapi mungkin baginya akan sembuh sekiranya makan ubat.

“Apa pun, alhamdulillah pendarahan pada paru-parunya beransur pulih,” kongsinya.

Ungku Ismail setia di sisi

Boleh dikatakan, tahun ini Nad melalui banyak episod suka duka dalam perjalanan hidupnya.

Bermula dengan kisah perceraian yang mengejutkan ramai, kemudian penghijrahannya apabila tampil dengan imej bertudung.

Ketika ramai berbicara tentang Nad, kehadiran aktor, Ungku Ismail di sisi aktres berkenaan menyita perhatian umum.

 

KEDUA-dua pelakon ini mula rapat sejak terlibat dalam drama Cina Buta. – Foto ASTRO

Lebih membuatkan ramai tertanya-tanya ialah dia antara individu yang kerap berkongsi perkembangan semasa Nad.

Baginya, usaha tersebut dilakukan atas dasar persahabatan yang terjalin, namun tidak menafikan mereka kini sedang mengenal hati budi masing-masing.

“Memang kami rapat dan tipu jika cakap tiada hati. Mungkin ini ujian untuk kami bagi melihat sejauh mana kesungguhan ketika salah seorang mengalami kesukaran.

“Saya tidak kisah tentang tanggapan orang sebab apa yang dilakukan untuk Nad selama ini ialah atas dasar persahabatan. Saya bukan jenis tinggalkan orang yang dilanda kesusahan,” ujarnya.

Sedar tentang pandangan ramai terhadapnya yang sentiasa berada di sisi Nad, Ungku Ismail enggan mengambil pusing mengenai perkara tersebut.

Dia bagaimanapun mengakui terbit kerinduan sejak Nad dimasukkan ke hospital.

“Saya sayang dia sebagai manusia. Saya rindu untuk meluangkan masa dengannya, pergi makan berdua.

“Jujurnya, ‘spark’ (perasaan) antara kami memang kuat cuma saya tidak mahu meletakkan sebarang kata putus untuk hubungan ini.

“Saya melaporkan perkembangan terkini Nad juga atas tanggungjawab sebagai sahabat,” jelasnya.

Dihujani doa

Seorang aktres yang memiliki rekod bersih tanpa banyak kontroversi dan itu antara faktor menyebabkan dia sangat disayangi ramai sehingga dihujani jutaan doa bagi kesembuhannya.

Sejak bintang drama Matahari Tak Bercahaya itu dimasukkan ke hospital, rakan selebriti kerap mengadakan majlis bacaan Yasin untuknya.

Sepanjang dia menerima rawatan di hospital, Nad tidak putus-putus diziarahi oleh rakan selebriti tanah air, ahli keluarga termasuk bekas suami, Faliq Amiruddin dan dua anak mereka, Fahad Ibrahim serta Budi Kalsom.

Kehadiran mereka berbekalkan doa, sedikit sebanyak dapat menguatkan lagi semangat aktres tersebut berjuang melawan rasa sakitnya.

Semoga pelakon yang popular menerusi drama Fatonah Azali itu diberikan kesembuhan dan dapat kembali mewarnai industri tanah air dengan hasil kerja yang selama ini berjaya menambat hati ramai.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI