SHAH ALAM – Pasangan penyanyi, Wani Kayrie dan Ahmad Syafiq sedia menggalas tanggungjawab sekiranya lagu Berakhirlah Pencarianku berjaya lolos ke Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) tahun depan.
Menurut Wani, 22, melunaskan tanggungjawab menyanyikan lagu milik Ernie Zakri dan Hafiz Shuip pada Separuh Akhir Muzik-Muzik 37 (SFMM37) merupakan satu bebanan besar tetapi berjaya dilakukan bersama Syafiq.
“Pada SFMM37, kami hanya ada masa kurang seminggu untuk membuat persiapan, mencari keserasian dan memang tak terfikir sama ada lagu ini layak ke AJL37 atau tidak. Semuanya berjalan seperti dirancang.
“Sekiranya ada rezeki lagu ini, kami akan tampilkan perbezaan dari segi susunan muzik dan vokal demi mencetuskan kelainan lain,” katanya kepada Kosmo! Online usai persembahan SFMM37 di Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral di sini semalam.
Pada masa sama, dia turut meminta tip dan pandangan daripada Ernie sekiranya terdapat sebarang penambahbaikan dalam teknik nyanyian dan cara persembahan.
“Saya ada hubungi kak Ernie untuk dapatkan tip. Dia pesan jadi diri sendiri di atas pentas, jangan tiru nyanyiannya.
“Selain itu, kami ada juga hadiri kelas vokal. Syukur tiada sebarang masalah teknikal atau vokal hari ini (semalam),” katanya lagi.
Sementara itu ditanya mengenai perbandingan dan komen netizen yang tidak berkesudahan, Syafiq mengakui sedikit terganggu dengan perkara tersebut.
“Kami sedar tentang komen-komen netizen terutama peminat lagu ini sejak seminggu lalu. Ada yang beri sokongan dan sebaliknya.
“Sebenarnya, semua komen tersebut kami jadikan sebagai pembakar semangat untuk berikan 100 peratus dalam persembahan kami semalam.
“Insya-Allah, sekiranya lagu ini ada rezeki ke AJL37, kami akan berikan tenaga dan usaha sehingga 200 peratus,” ujarnya lagi.
Persembahan hari pertama SFMM37 semalam menyaksikan sebanyak 18 daripada 30 buah lagu bertanding.
Selain Berakhirlah Pencarianku, 17 buah lagu lain ialah Cukup Derita Itu nyanyian Siti Nordiana, Hitam Saksi Putih (Haqiem Rusli), Perempuan (Jaclyn Victor), Kisah Hati Lara (Naqiu), Damba (Khai Bahar), Sempurna (Insomniacks) dan Takluk Cinta (Puteri Khareeza).
Turut serta ialah Payung Pelangi (Noki & MK), Mainan (Naim Daniel), Demi Kamu (Indah Ruhaila), Makuta (Hazama, Kmy Kmo & Luca), Berani (Dolla), Nang (Iman Troye) dan Kembali Terang (Marsha).
Baki tiga buah lagu lain ialah Tak Sangka (Yonnyboii, Asyraf & Zynakal), Anugerah Terindah (Alif Satar & The Locos) dan Satu Malam Di Temasik (Joe Flizzow & SonaOne).
Bagi sesi kedua persembahan pada hari ini, sebanyak 12 lagu lagi akan berjuang di pentas SFMM37 bagi merebut tempat ke AJL37. – KOSMO! ONLINE