PUTRAJAYA- Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan disifatkan layak diangkat sebagai Timbalan Perdana Menteri (TPM) di dalam kerajaan perpaduan berikutan kreadibiliti beliau yang diterima rakyat dan parti.
Exco Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, kemenangan besar Mohamad atau Tok Mat di Parlimen Rembau dan pengalamannya sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dilihat mampu menjadikan beliau sebagai TPM dan wakil Barisan Nasional (BN) yang mampu memberikan impak positif buat parti.
“Saya yakin, rakyat dapat menerima Tok Mat dan beliau dapat bersama-sama membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim memimpin kerajaan perpaduan dalam menangani kemelesetan ekonomi yang dijangka berlaku tahun hadapan.
“Cabaran politik kini amat berbeza dan dinamika yang berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) cukup luar biasa. Jadi, gandingan yang baik dan mantap ini pastinya dapat mengekalkan kestabilan politik negara untuk beberapa tahun mendatang,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Pada sama sama, beliau berkata, beberapa pemimpin muda lain juga perlu diberikan ruang untuk bersama-sama membangunkan negara menerusi pimpinan kerajaan perpaduan sekali gus membolehkan setiap rakyat mendapat manfaat ditawarkan.
“Antara pemimpin yang perlu diberikan ruang bersama kerajaan perpaduan ialah Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil selain Khairy Jamaluddin Abu Bakar, Nurul Izzah Anwar, Shahril Sufian Hamdan dan beberapa pemimpin muda lain.
“Jika ingin melihat sebuah perubahan politik baharu buat negara, Anwar perlu berani mengangkat pemimpin muda untuk bersama beliau dalam mengemudi negara agar setiap lapisan rakyat tidak tertinggal,” katanya.
Beliau turut mengharapkan agar kerajaan perpaduan dapat membawa perubahan yang mampu membawa negara kearah kemajuan mapan seterusnya mengembalikan keyakinan pelabur kepada Malaysia.
“Pada masa sama, keharmonian kaum antara semua bangsa di dalam pelbagai parti juga dapat diterjemahkan ke arah kemakmuran yang sewajarnya serta sentiasa hormat menghormati sesama kita.
“Jangan lagi ada kenyataan-kenyataan yang berbaur perkauman dan mengganggu gugat ketenteraman awam selepas ini,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE