fbpx

Piala Malaysia: Penyokong harap JDT tebus kecewa tahun lepas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dianggarkan lebih 100 buah bas yang membawa penyokong JDT termasuk BOS mula berkonvoi pagi ini ke SNBJ. Foto RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU – Kira-kira 600 penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) yang berkonvoi dari Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin menuju ke Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) pagi ini berharap kekecewaan tumpas di perlawanan akhir Piala Malaysia pada tahun lalu tidak berulang.

Menurut Kamariah A. Kadir, 47, dia yakin kekecewaan itu diubati dengan kemenangan pada malam ini selepas pasukan itu menjuarai Piala FA dan Liga Super musim ini.

“Pada tahun lalu, saya turut berada di SNBJ menyaksikan JDT tewas 0-2 kepada Kuala Lumpur City. Saya harap keputusan tahun ini berbeza dan memihak kepada skuad Harimau Selatan.

“Sudah tentu saya gembira ke final sekali lagi, harapnya JDT akan muncul juara selepas memenangi Piala FA dan Liga Super,” katanya yang turut berharap perlawanan berjalan dengan aman dan tidak ada provokasi.

SEBAHAGIAN daripada 2,000 penyokong JDT bersorak semangat sebelum memulakan konvoi ke SNBJ bagi menyaksikan perlawanan akhir Piala Malaysia malam ini.
Foto RAJA JAAFAR ALI

Sementara itu, Izad Shah Omar, 45, melahirkan rasa keterujaan melangkah ke perlawanan akhir kali kedua tahun ini.

Katanya, dia menjangkakan skuad kendalian Hector Bidoglio itu menerima tentangan sengit daripada skuad Gergasi Merah sebelum muncul juara Piala Malaysia malam ini.

Sementara itu, bagi Awang Lazaman, 69, yang menyokong kelab bolasepak negeri Johor sejak era Johor FA, bangga melihat pencapaian kelab itu yang diterajui pemiliknya, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Katanya, JDT pada musim ini berada di tahap yang terbaik dan mampu melengkapkan kejuaraan treble dengan menjulang Piala Malaysia pada malam ini.

“Perlawanan pada malam ini ibarat ulangan perlawanan akhir Piala Malaysia antara Johor FA menentang Selangor pada 1991 yang menyaksikan Johor menang 3-1,” ujarnya.

Dianggarkan lebih 100 buah bas yang membawa penyokong JDT termasuk Boys of Straits (BOS) mula berkonvoi pagi ini dari pelbagai lokasi menuju venue perlawanan akhir Piala Malaysia. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI