fbpx

Piala Dunia: Ecuador hampir buat Belanda ‘putih mata’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kedua-dua pasukan gagal memanfaatkan peluang terhidang untuk menjadi negara pertama mengesahkan slot ke peringkat 16 terbaik Piala Dunia selepas seri 1-1 sebentar tadi. - Foto oleh Twitter Oranje

DOHA – Pasukan Belanda hampir ‘berputih mata’ sebelum berjaya mengutip satu mata penting selepas terikat seri 1-1 ketika bertemu Ecuador pada perlawanan Kumpulan A saingan Piala Dunia 2022 sebentar tadi.

Pada aksi di Stadium Khalifa itu, skuad The Oranje membariskan kesebelasan terbaik dengan menyenaraikan tonggak penting seperti Virgil van Dijk, Frankie de Jong dan Cody Gakpo.

Ecuador yang memburu slot ke peringkat kalah mati turut meletakkan senarai pemain terbaik diketuai oleh kapten, Enner Valencia.

Namun, negara dari benua Amerika Selatan itu terlebih dahulu dikejutkan dengan serangan pasukan Belanda yang meledak gol seawal minit keenam menerusi jaringan Gakpo daripada luar kotak penalti.

Skuad La Tri hampir menyamakan kedudukan pada minit ke-31 tetapi rembatan yang dilakukan oleh Valencia berjaya diselamatkan penjaga gol Belanda, Andries Noppert.

Noppert akhirnya tertewas pada penghujung babak pertama menerusi gol Pervis Estupinan hasil daripada sepakan penjuru tetapi dibatalkan ekoran ofsaid oleh video bantuan pengadil (VAR).

Bersambung pada babak kedua, Ecuador meneruskan momentum cemerlang dan asakan yang dilakukan akhirnya membuahkan hasil apabila Valencia meledak gol ketiga peribadi pada Piala Dunia kali ini untuk menewaskan Noppert.

Skuad Belanda kendalian Louis van Gaal berusaha untuk memperkemaskan jentera serangan dengan memasukkan pemain seperti Steven Berghuis dan Wout Weghorst namun gagal memberikan ancaman bahaya ke kubu lawan.

Ecuador pula hampir membawa pulang tiga mata berharga tetapi sepakan yang dilakukan oleh pemain gantian, Kevin Rodriguez sekadar terkena palang gol.

Keputusan seri itu menyaksikan kedua-dua pasukan terpaksa berpuas hati dengan mengutip empat mata selepas dua aksi Piala Duni ketika ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI