fbpx

Piala Dunia : Wales ‘Terkulai Layu’ di kaki Iran

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Wales, Gareth Bale dilihat kecewa selepas pasukannya tewas terhadap Iran pada aksi Piala Dunia Qatar 2022 Kumpulan B di Stadium Ahmad Bin Ali hari ini.

DOHA – Pasukan Iran melakukan kejutan apabila mereka bangkit menumbangkan Wales 2-0 dalam aksi Kumpulan B sekali gus mencerahkan peluang mereka untuk layak ke pusingan 16 terbaik Piala Dunia Qatar 2022.

Iran yang turun dengan misi wajib menang berikutan kekalahan 6-2 terhadap England pada aksi pembukaan mempamerkan perlawanan cukup agresif dan segalanya berubah selepas Wales terpaksa bermain dengan 10 pemain apabila penjaga gol terbaiknya, Wayne Hennessey dilayang kad merah selepas dikesan melakukan terjahan keras terhadap Mehdi Taremi pada penghujung perlawanan.

Iran menggunakan peluang tersebut sebelum berjaya memecah kebuntuan menerusi jaringan Rouzbeh Cheshmi pada penghujung perlawanan sebelum Ramin Rezaeian menambah gol kedua pada minit (90+11).

Pada aksi di Stadium Ahmad bin Ali itu, Wales yang dikendalikan oleh Rob Page membariskan pemain terkuat seperti Gareth Bale, Aaron Ramsey dan penyerang Bournemouth, Kieffer Moore dalam kesebelasan utama namun dilihat gagal mengekang asakan pemain Iran.

Pada awal perlawanan, Wales bermain dengan baik apabila mereka hampir membuka jaringan awal pada minit ke-13, namun percubaan cantik Moore dalam kotak penalti berjaya ditepis penjaga gol Iran, Hossein Hosseini.

Kedua-dua pasukan berbalas serangan, namun keputusan 0-0 kekal sehingga penghujung masa pertama perlawanan dan menyebabkan perlawanan bertambah sengit sebaik sahaja bersambung babak kedua.

Gawang Wales sekali lagi diuji apabila Iran terus melakukan asakan bertubi-tubi namun dua percubaan dari Sardar Azmoun dan Ali Gholizadeh pada minit ke-52 masing-masing hanya mampu menerjah ke tiang gol.

Tersentak dengan keadaan tersebut, Wales membuat pertukaran dengan membawa masuk Brennan Johnson untuk mengantikan tempat Connor Roberts. Harry Wilson turut dikeluarkan dan digantikan dengan penyerang terbaiknya, Daniel James.

Namun, kemasukan beberapa pemain utama masih gagal untuk memecahkan benteng pertahanan Iran. Keputusan 2-0 kekal dan akhirnya Iran membawa bekalan terbaik mereka menjelang perlawanan terakhir menentang pasukan Amerika Syarikat.

Pasukan Wales yang bersaing dalam kancah Piala Dunia buat kali pertama dalam tempoh 64 tahun kini mengharapkan keajaiban menjelang pertembungan terakhir mereka menentang England pada 30 November ini nanti. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI