Oleh NOOR HASLIZA NUSI
GEORGE TOWN – Tiga banduan di Kompleks Penjara Seberang Perai di Jawi, Seberang Perai Selatan dekat sini pula disahkan positif Covid-19 hari ini.
Pengarah Penjara Negeri, Roslan Mohamed berkata, banduan yang disahkan positif Covid-19 itu telahpun dikuarantin dan diasingkan.
Menurutnya, siasatan lanjut masih dijalankan berhubung penularan jangkitan virus berkenaan oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Ya…Ada tiga kes banduan yang positif Covid-19 di Penjara Jawi Pulau Pinang hari ini. Mereka yang positif sudah diasingkan blok untuk rawatan.
“Maaf, saya tidak boleh menjawab soalan sama ada banduan terbabit merupakan kontak rapat dengan banduan di Penjara Reman Pulau Pinang atau sebaliknya kerana saya tiada maklumat lagi mengenai perkara itu,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini sebentar tadi.
Beliau memberitahu, proses sanitasi telahpun dilaksanakan termasuk kesemua blok berkenaan sebelum ini.
Sementara itu, Kosmo! difahamkan Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri telah mengeluarkan memo kepada seluruh jabatan di negeri ini berhubung tindakan pencegahan awal bagi mengesan kontak rapat bagi kes positif Covid-19 di Pulau Pinang.
Memo yang dihantar menerusi emel itu adalah bagi mengenalpasti maklumat pegawai dan kakitangan yang mempunyai pasangan yang bertugas di penjara itu, menghantar anak kepada pengasuh di Kuarters Penjara Seberang Perai atau ke Kelas Al-Quran Dan Fardhu Ain (KAFA) di penjara berkenaan.
Sementara itu, Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah pada sidang akhbar sebentar tadi memaklumkan Kluster Penjara Jawi merupakan kluster baharu di negeri ini selepas Kluster Penjara Reman Pulau Pinang. – K! ONLINE