JAKARTA – Indonesia merekodkan sebanyak 236 gempa susulan selepas gempa bumi utama berukuran 5.6 pada skala Richter menggegarkan rantau Cianjur, wilayah Jawa Barat pada Isnin lalu, lapor stesen penyiaran CNN Indonesia semalam.
Gempa bumi cetek pada kedalaman 10 kilometer itu menyebabkan kerosakan yang dahsyat disebabkan faktor kawasan penempatan tidak tahan bencana gempa bumi dan keadaan tanah yang curam.
Sehingga kelmarin, jumlah kematian akibat bencana itu mencecah 272 orang dengan seramai 2,046 mangsa cedera, manakala 62,545 penduduk pula hilang tempat tinggal.
Badan Nasional Pengurusan Bencana Indonesia (BNPB) semalam masih menjalankan operasi mencari 39 mangsa yang masih hilang dengan tumpuan dilakukan di Kampung Cijedil, Cianjur. Seramai 32 daripada mereka merupakan penduduk kampung itu.
“Gempa susulan yang berlaku sehingga semalam direkodkan sebanyak 236 kali dengan kekuatan terbesar 4.2 pada skala Richter dan paling kecil 1.2 pada skala Richter,” kata Ketua Pusat Gempa Bumi dan Tsunami dari Badan Meteorologi, Klimatologi fan Geofizik (BMKG), Daryano dalam akaun Twitternya.
Gempa susulan masih berlaku sehingga pagi semalam. Antaranya termasuk gegaran berukuran 3.4 pada skala Richter yang berlaku pukul 3.05 pagi (waktu tempatan) semalam. Pusat gempa itu sejauh 7 kilometer di barat daya Cianjur dengan kedalaman 6 kilometer.
Gegaran susulan turut dirasai di Cipanas dan Cibeber dengan kekuatan II hingga III pada Skala keamatan Mercalli (MMI).
Selain itu, gempa bumi berkekuatan 4.1 pada skala Richter direkodkan semalam sekitar pukul 1.44 pagi (waktu tempatan). Lokasi pusat gempa adalah sejauh 12 kilometer ke barat daya Cianjur dengan kedalaman 10 kilometer.
Gegaran turut dirasai di Cianjur, Sukabumi dan Bogor. – Agensi