PYONGYANG – Korea Utara menyelar Presiden Korea Selatan, Yoon Suk-yeol dan kerajaan pimpinan beliau sebagai ‘dungu’, malah menuduh mereka menjadi ‘anjing setia’ kepada Amerika Syarikat (AS), lapor agensi berita United Press International (UPI) kelmarin.
Kenyataan biadab itu dibuat oleh Kim Yo-jong yang merupakan adik perempuan pemimpin tertinggi Korea Utara, Kim Jong-un.
Yo-jong menujukan kenyataan itu kepada Kementerian Luar Seoul. Kementerian itu sebelum ini berkata bahawa pihaknya mempertimbangkan untuk mengenakan sekatan tambahan ke atas Korea Utara susulan provokasi Pyongyang termasuk ujian peluru berpandu balistik antara benuanya (ICBM) baru-baru ini.
“Sebaik sahaja AS bercakap tentang ‘sekatan khusus’ terhadap Demokrat Republik Rakyat Korea (DPRK), Korea Selatan mengulangi apa yang dikatakan oleh Washington.
“Perbuatan menjijikkan ini menunjukkan dengan lebih jelas bahawa Korea Selatan adalah ‘anjing setia’ dan orang suruhan AS,” kata Yo-jong dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh Agensi Berita Pusat Korea (KCNA). DPRK ialah nama rasmi Korea Utara.
Minggu lalu, Pyongyang melancarkan ICBM yang terbang pada jarak sekitar 210 kilometer sebelum jatuh di perairan Jepun. ICBM tersebut dilaporkan boleh mengenai sasaran di seluruh AS.
Yo-jong menggelar pelancaran itu sebagai ‘pelaksanaan hak mempertahankan diri’ dan menyalahkan peningkatan ketegangan di Semenanjung Korea kepada kerajaan pimpinan Suk-yeol.
Washington dan Seoul meningkatkan kerjasama tentera di bawah pentadbiran Suk-yeol.
“Saya tertanya-tanya mengapa orang Korea Selatan masih menjadi penonton pasif kepada tindakan kerajaan Suk-yeol dan orang-orang ‘dungu’ lain yang terus mencipta situasi bahaya.
“Seoul tidak menjadi sasaran kami sekurang-kurangnya semasa Moon Jae-in (bekas presiden Korea Selatan) berkuasa,” tambahnya. – Agensi