BANGKOK – Seorang pelumba kereta profesional berdepan saman 1,000 baht (RM125) selepas kereta Ferrari merah milik rakan yang dipandunya merempuh sebatang pokok di Bangkok, Thailand, lapor laman berita Thaiger.
Nawin ‘Gaga’ Yasri, 44, dihantar ke hospital setelah bahagian belakang badannya cedera, manakala kereta mewah berharga 25 juta baht (RM3.13 juta) itu disahkan ‘total lost’ (musnah sepenuhnya).
Setelah mendapat laporan, pegawai dari Balai Polis Don Mueng bergegas ke Jalan Phahonyothin, Bangkok untuk menyelamatkan Nawin daripada kereta Ferrari F8 Tributo itu kelmarin.
Dia hilang kawalan semasa memandu dan terbabas, manakala pokok yang dilanggar menghempap kereta tersebut. Nawin kemudian dihantar ke Hospital Paolo Kaset untuk rawatan.
Kereta itu milik rakannya, Weerakard Dokchan yang juga merupakan seorang pelumba kereta dan pemilik syarikat World Pump (Thailand) Co., Ltd.
Nawin berkata, dia ingin membelok ke kanan ke arah sebuah stesen minyak tetapi kereta itu terbabas di atas jalan dan melanggar pokok.
Akhbar Siamrath melaporkan bahawa Nawin berdepan denda sehingga 1,000 baht (RM125) kerana memandu secara melulu.
Pegawai penyiasat memberitahu bahawa Nawin akan disoal sekali lagi selepas pulih daripada kecederaan untuk mengetahui sama ada dia ada melanggar undang-undang trafik yang lain.
Nawin pelumba sukan permotoran profesional bersama Puma Inforlife Team PTT. – Agensi