PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak akan mempertimbang untuk memegang portfolio Menteri Kewangan bagi barisan Kabinetnya yang akan diumumkan kelak.
Bagaimanapun, katanya, beliau akan melihat segala kemungkinan sebelum membuat keputusan akhir mengenainya.
“Kami akan melihat segala kemungkinan tetapi buat masa ini, saya tidak akan pertimbang (memegang portfolio itu),” katanya kepada ketika ditemui selepas selesai solat Jumaat di Masjid Putra di sini, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita sama ada akan memegang portfolio itu bagi mengecilkan saiz Kabinet pentadbirannya nanti.
Katanya, buat masa ini, keputusan mengenai jawatan menteri itu belum diputuskan lagi.
Ditanya mengenai pengalaman hari pertamanya sebagai Perdana Menteri, Anwar berkata, beliau akui sibuk dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan, meskipun baru beberapa jam memulakan tugasan rasmi.
“Bagus, sibuk dan dibebani dengan pelbagai isu yang perlu diselesaikan,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Anwar pada sidang akhbar pertamanya semalam berkata, beliau mengesahkan akan mewujudkan dua jawatan Timbalan Perdana Menteri yang bakal diisi wakil daripada Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Anwar dilantik sebagai Perdana Menteri Ke-10 dengan sokongan tiga gabungan utama itu Pakatan Harapan (PH), BN dan GPS.
Ia turut disertai Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Parti Warisan (Warisan), Parti Bangsa Malaysia (PBM) dan Bebas.- KOSMO! ONLINE