fbpx

Teruja menguji kolam 3 Sea Lion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

HUJUNG Oktober lalu, penulis mendapat jemputan untuk menjadi antara yang terawal menguji kolam 3 Aduro atau lebih dikenali sebagai kolam 3 Sea Lion di Klang sebelum pembukaan rasminya pada 5 November 2022.

Namun, atas beberapa sebab tidak dapat dielakkan, penulis hanya datang tiga hari selepas pembukaan kolam.

Jarak pemanduan hampir 45 minit dari Kuala Lumpur melalui Lebuh Raya Persekutuan untuk ke kolam itu yang terletak di Tanjung Harapan, Klang, tidak begitu terasa dek semangat yang berkobar untuk beraksi di kolam ini.

Penulis disertai rakan, Fadzli Amir Hamzah (Lebai) dan juga Muhamad Azlan Mohamed Nor (Abang Lan) yang turut dijemput oleh pihak kolam.

Kedatangan kami disambut oleh wakil kolam, saudara Hafizh Hamzah atau lebih dikenali sebagai Apit RSKV selaku pentadbir kolam.

Menurut Apit, kolam tersebut baru saja diambil alih oleh pemilik baharu dikenali sebagai Shafiq pada Ogos lalu.

Bayaran dikenakan untuk memancing di Kolam 3 Sea Lion itu adalah RM110 termasuk deposit, dengan 4 jam minimum masa memancing. Bagi setiap jam tambahan pula, bayaran dikenakan sebanyak RM20 sejam.

Ini merupakan kolam kedua yang dimiliki oleh Shafiq selepas mengambil alih kolam Aduro Desa Aman, Sri Damansara lebih lima tahun lalu.

“Terdapat beberapa jenis spesies ikan di dalam kolam seperti ikan merah, siakap putih, siakap merah (mangrove jack), bawal emas, jenahak, kerapu hibrid dan spesis bonus kerapu naga.

LEBAI tersenyum puas menjinakkan siakap putih.

“Jika pemancing berjaya menaikkan kerapu naga ini, pihak kolam akan membayar sebanyak RM1,000 secara tunai dan ikan akan menjadi milik kolam,” terang Apit.

Untuk umpan pula, pihak kolam hanya membenarkan ikan belanak, udang hidup atau kopek, sotong, ketam dan potongan ikan (kembung, selar, pelaling).

Menariknya, bermula 11 Oktober lalu, pihak kolam membenarkan penggunaan umpan tiruan jenis soft-plastic.

Usai berkenalan, kami mengambil posisi di sebelah kanan kolam.

Penulis memilih set ‘hanyir’ mengilat kegemaran penulis iaitu joran baitcasting 8-15lb aksi sederhana berserta kekili menegak yang diisi dengan tali sulaman x8 15lb.

Untuk pancingan kolam, penulis gemar mengikat mata kail terus pada leader bagi melancarkan balingan menggunakan joran mengilat.

Balingan pertama penulis berumpankan udang hidup tidak menunggu lama untuk diburu penghuni kolam, namun larian deras ikan ke bawah mesin pam air membuatkan penulis berputih mata.

Selang beberapa minit kemudian, giliran umpan Lebai pula dilarikan, namun sedikit malang apabila tali utamanya putus menahan asakan ikan.

Penulis sedikit tertawa apabila Lebai beritahu yang dia hanya menyasarkan bawal emas dan tidak bersedia jika ikan bersisik menyambar umpannya.

Tidak mahu membuang masa, penulis berpindah duduk berhampiran Abang Lan, penulis menukar taktik dengan melakukan casting udang hidup.

Karauan secara perlahan berjaya menggoda siakap merah bersaiz ‘sedap’.

Penggunaan kaedah ini dilihat sangat berkesan, kerana penulis berjaya menaikkan beberapa ekor ikan berturut-turut. Di spot yang sama, Abang Lan juga tidak kurang hebatnya apabila menaikkan jenahak dan siakap merah dengan teknik pelampung.

Melihat penulis dan Abang Lan kerap bergasak, Lebai yang duduk agak sedikit jauh terus mengambil tempat bersebelahan penulis.

Nasib kurang baik Lebai berterusan apabila tali 20lb putus empat kali.

Namun, ketika kami sedang berkemas untuk pulang, Lebai berjaya menaikkan seekor siakap putih, mujurlah tidak ‘kumpau’ atau gagal mendapat hasil pada hari itu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI