Oleh ZAKI SALLEH
IPOH – Taman tema Sunway Lost World Of Tambun (SLWOT) di sini ditutup buat sementara waktu bagi proses nyah cemar selepas Kementerian Kesihatan Malaysia mengesahkan salah seorang pengunjungnya disyaki dijangkiti Covid-19.
Penutupan selama 14 hari bermula hari ini hingga 26 Oktober itu turut melibatkan Sunway Lost World Hotel.
SLWOT dalam satu kenyataan memberitahu, perkara itu diputuskan setelah mendapat pandangan KKM.
“Sebagai langkah berjaga-jaga, LWOT akan ditutup untuk proses nyah cemar di seluruh kawasan.
“Kami ingin memastikan bahawa keselamatan dan kesihatan para pengunjung serta semua kakitangan adalah menjadi keutamaan,” ujar kenyataan tersebut.
Katanya lagi, KKM telah melakukan pengesanan kontak kepada semua kontak rapat yang berpotensi dengan individu berkenaan.
“Kami juga meminta orang ramai untuk kekal bertenang. Kami akan terus komited memberi kerjasama dengan pihak berkuasa dan KKM untuk mengatasi masalah ini,” katanya. -K! ONLINE