KUALA LUMPUR – Pengguna Tenaga Nasional Berhad (TNB) akan menerima bil berdasarkan bacaan sebenar dan bukan bacaan anggaran sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Selangor, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.
TNB dalam satu kenyataan berkata, pengguna juga akan terus menerima bil secara penghantaran fizikal oleh pembaca meter sepanjang tempoh PKPB yang berkuatkuasa tengah malam ini hingga 27 Oktober 2020 depan.
“Bacaan meter elektrik di kediaman atau premis pengguna akan dilakukan oleh pembaca meter TNB seperti biasa sepanjang tempoh PKPB, dengan mengambil kira garis panduan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan bagi memastikan keselamatan dan kesejahteraan pengguna dan pembaca meter terjamin.
“TNB ingin menasihatkan pengguna untuk mengamalkan penggunaan elektrik secara berhemah sepanjang tempoh PKPB memandangkan penggunaan elektrik isi rumah mungkin meningkat lebih tinggi daripada kebiasaan, sama ada bagi mematuhi arahan duduk di rumah, bekerja dari rumah mahupun menghadiri sesi pembelajaran secara maya,” katanya di sini hari ini.
Dalam pada itu TNB berkata, pengguna akan terus menikmati Diskaun Rangsangan Ekonomi sehingga 50 peratus untuk penggunaan elektrik bulanan di bawah Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRIHATIN) yang dilanjutkan sehingga 31 Disember 2020.
“Inisiatif kerajaan yang memberi manfaat kepada lebih tujuh juta pengguna kediaman ini diteruskan bagi membantu rakyat menyesuaikan diri dengan pemulihan semula ekonomi negara ketika ini.
“Pengguna juga digalakkan untuk melakukan sebarang transaksi TNB secara dalam talian sepanjang PKPB bagi mengurangkan keperluan untuk melakukan transaksi secara bersemuka di Kedai Tenaga,” ujarnya. – K! ONLINE