DOHA – Pengendali Switzerland, Murat Yakin puas selepas menyaksikan anak-anak buahnya mempamerkan kematangan untuk melakar kemenangan pertama dengan menewaskan Cameroon 1-0 pada aksi peringkat Kumpulan G saingan Piala Dunia 2022 kelmarin.
Pada aksi di Stadium Al Janoub itu, skuad Rossocrociati terpaksa bermandi peluh untuk mengutip tiga mata berharga hasil daripada jaringan yang dilakukan oleh Breel Embolo pada awal babak kedua.
Kata Yakin, masih banyak lagi kelemahan yang perlu diperbaiki oleh barisan pemain, tetapi dalam masa sama, apa yang penting pasukan berjaya melakar kemenangan meskipun ditentang sengit pasukan lawan.
“Anda perlu bersabar kerana pada saingan Piala Dunia, apa sahaja boleh berlaku dan pemain telah menunjukkan kesabaran dan kematangan dalam memastikan tiga mata boleh diraih sekali gus memulakan saingan dengan langkah kanan.
“Cuma, beberapa kelemahan yang saya lihat adalah daripada sudut penyudah kerana kita sepatutnya boleh meraih banyak gol, tetapi saya enggan mengkritik terlalu banyak kerana pemain sudah memberikan seratus peratus di atas padang,” katanya.
Sementara itu, Yakin turut memuji mentaliti yang dipamerkan oleh Embolo untuk menjaringkan gol ke atas negara kelahirannya kerana ia bukan mudah khususnya selepas pemain berusia 25 tahun itu enggan meraikan jaringan tersebut.
“Saya sudah cakap kepada Embolo bahawa di luar padang, pemain Cameroon adalah sahabatnya, tetapi dia harus melupakan sentimen tersebut ketika di atas padang dan saya gembira apabila dia berjaya menjadi wira pasukan pada perlawanan ini,” katanya. – AGENSI