SHAH ALAM – Syarikat Projek Lintasan Kota Holdings Sdn. Bhd. (Prolintas) dan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan bekerjasama mewujudkan kawasan selamat banjir untuk 500 kenderaan sepanjang Lebuh Raya Kemuning Shah Alam (LKSA), di sini.
Timbalan Datuk Bandar, Shah Alam Mohd. Rashidi Ruslan berkata, bagi merealisasikannya pihak MBSA akan membina tanjakan di laluan kecemasan kira-kira 20 meter dari kawasan Taman Sri Lembayung ke kawasan Rehat & Rawat Tol Taman Sri Muda.
Katanya, turut dibina adalah satu unit pintu pagar pada kedudukan pagar antara laluan sikal arah Taman Sri Lembayung bagi membolehkan laluan kecemasan itu boleh dilalui kenderaan awam dan kenderaan penyelamat.
“Prolintas pula akan membenarkan kenderaan dari kawasan yang terjejas banjir luar biasa untuk menggunakan laluan kecemasan yang telah dibina untuk ke laluan LKSA termasuk tanpa dikenakan tol.
“Petugas Prolintas juga harus berada kesiapsiagaan tinggi dengan boleh dihubungi bila-bila masa dan membantu mengawal lalulintas di kawasan atau laluan lebuh raya semasa banjir luar biasa,” katanya selepas majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pelan Tindakan Banjir di LKSA, hari ini.
Prolintas diwakili Pengurus Besar Operasi Lebuh raya, Azmee Nin dalam MoU tersebut.
Mengulas lanjut Mohd. Rashidi berkata, pembinaan struktur menghalang kemasukan air parit utama ke LKSA di Seksyen 23 juga akan dilakukan dalam mitigasi banjir itu.
“Aliran air dari LKSA juga akan diuruskan supaya terus mengalir ke sungai atau ke sistem perparitan dengan sempurna dan lancar bagi mengelakkan air bertakung di permukaan jalan,” katanya. -KOSMO! ONLINE