PETALING JAYA – Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) mengeluarkan amaran ribut petir bagi lapan buah negeri termasuk Sarawak dan Sabah sehingga lewat petang hari ini.
MetMalaysia dalam laporannya berkata, ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka di negeri Perak (Larut, Matang Dan Selama, Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah dan Kampar).
Sementara itu, di Pantai Timur, cuaca buruk yang sama turut melanda Kelantan (Jeli dan Kuala Krai) serta Terengganu (Besut, Setiu, Hulu Terengganu, Dungun dan Kemaman).
“Di Pahang, kawasan terlibat adalah Bentong, Kuantan, Bera, Pekan dan Rompin,” katanya.
Sementara itu, bagi Negeri Sembilan pula, hujan lebat berisiko berlaku sekitar Jelebu dan Jempol.
Tambah MetMalaysia, beberapa daerah di Johor seperti Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi juga berdepan dengan cuaca buruk petang ini.
Beralih ke negeri Sarawak, MetMalaysia meramalkan Sibu (Sibu dan Selangau), Kapit (Kapit) dan Bintulu (Tatau) bakal berdepan hujan lebat serta ribut petir sehingga pukul 6 petang nanti.
“Di Sabah, kawasan berisiko adalah Pantai Barat (Putatan, Penampang, Kota Kinabalu dan Tuaran) dan Sandakan (Beluran).
“Amaran dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 mm/jam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam,” ujarnya.
Bagaimanapun, amaran ribut petir adalah amaran jangka pendek yang sah dalam tempoh tidak melebihi enam jam untuk satu-satu keluaran. – KOSMO! ONLINE