fbpx

‘DNA’ pembersih bangsa Jepun, rakyat Malaysia wajar contohi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN

Andai kata diminta menamakan masyarakat di dunia yang paling pembersih, penulis pasti sebulat suara orang akan menamakan masyarakat Jepun.

Pada Piala Dunia FIFA yang sedang berlangsung di Qatar, dunia terus menjadi saksi bahawa masyarakat yang satu ini memang mempunyai disiplin kebersihan yang cukup menakjubkan.

Setelah tular rakyat Jepun membersihkan stadium pada Piala Dunia 2014 di Brazil diikuti Piala Dunia 2018 di Rusia, rakyat negara Matahari Terbit itu nampaknya terus istiqamah di Qatar.

Menariknya, rakyat Jepun tetap membersihkan stadium walaupun tidak membabitkan perlawanan pasukan mereka. Ini dibuktikan semasa perlawanan pembukaan Qatar menentang Ecuador apabila warga Qatar terkejut melihat rakyat Jepun yang menonton pada hari itu mengutip sampah sarap yang ditinggalkan orang ramai di Stadium Al Bayt.

Apabila ada pihak bertanya mengapa mereka melakukannya, penonton-penonton Jepun itu hanya berkata: “Orang Jepun tak akan membiarkan sampah”.

Jika anda fikir ia hanya melibatkan orang kebanyakan Jepun, anda mungkin silap, ini kerana bintang-bintang bola sepak Jepun sendiri membuktikannya. Selepas kemenangan bergaya mengejutkan Jerman baru-baru ini, pegawai FIFA terkejut melihat bilik persalinan pasukan Jepun yang sungguh licin, kemas dan bersih. “Spotless!,” puji mereka.

Rakyat Jepun memang terkenal dengan disiplin penjagaan kebersihan. Pernah kita dengar di Jepun, sukar untuk ditemui satu pun sampah. Bahkan, diceritakan orang, lori sampahnya sendiri cukup bersih, tidak berbau dan tayarnya berkilat, selain ikan turut boleh hidup di longkang.

Pengangkutan dan tandas awam Jepun semuanya bersih. Bahkan, pemandu-pemandu teksi di Jepun memakai sarung tangan berwarna putih bagi menunjukkan yang kenderaan dan diri pemandu itu bersih.

Pernah juga tular pada tahun 2019, satu pasukan ragbi Jepun mengutip sampah dan puntung-puntung rokok semasa menyertai perlawanan di sekolah Maktab Melayu Kuala Kangsar hingga mengundang malu rakyat Malaysia.

Ini menunjukkan seolah-olah tidak kira apa jua situasi atau dicampak ke benua mana pun, rakyat Jepun tetap mengamalkan kebersihan.

Doktrin kebersihan Jepun boleh dikatakan seperti tertanam di dalam diri semua rakyatnya. Ia bagai sudah menjadi ‘DNA’ dalam diri bangsa Jepun. Bagaimana mereka boleh menjadi begitu pembersih ya?

Kebanyakan orang mengaitkan dengan asuhan sejak kecil. Di sekolah-sekolah Jepun, menjadi amalan akan diadakan sesi membersih sekolah setiap hari selepas tamat waktu persekolahan sehingga tidak memerlukan tukang cuci. Bahkan setiap pelajar bukan sahaja dipastikan mempunyai kuku pendek, tetapi juga dua sapu tangan bersih yang berlipat dan bergosok.

Persoalannya bagaimana didikan itu meresapi dan kesedaran itu boleh bersifat sekata menjalar ke dalam sanubari setiap orang, seolah-olah tiada yang liat mengingkarinya? Itu yang paling menakjubkan.

Kita di Malaysia boleh dikatakan terdidik juga dengan amalan kebersihan sejak kecil di sekolah. Penulis ingat lagi, dahulu, di sekolah kita ada jadual tugasan membersihkan kelas atau mengutip sampah selepas perhimpunan, tetapi berapa ramai antara kita yang membesar dengan kesedaran kendiri kebersihan yang tinggi?

Benar melentur buluh itu biar dari rebungnya, namun bagaimana air tidak langsung tercurah ke daun keladi itu satu yang lebih luar biasa, bagi penulis.

Benarlah bangsa Jepun itu disifatkan bangsa yang homogenous iaitu bangsa yang sekata dan tidak akan mengingkari identiti etniknya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI