KUALA LUMPUR – Polis tidak menerima sebarang makluman tentang perhimpunan #UndurZahid yang didakwa akan berlaku petang ini.
Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Noor Dellhan Yahaya berkata, walaupun begitu, dari pukul 9 pagi sehingga pukul 3 petang seramai 260 pegawai polis sedang berkawal di Menara Dato On, Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTC) di sini.
“Objektif utama kita adalah menjaga ketenteraman awam dan keselamatan orang ramai.
“Keseluruhan kita ada 30 pasukan yang mana 16 pasukan dari Bukit Aman, 14 pasukan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur bagi membantu keanggotaan Dang Wangi,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Ujarnya lagi, pihaknya akan memantau secara berterusan sehingga berpuas hati dengan keadaan yang terkawal.
“Pihak polis akan pantau dan jalankan tugas dengan sebaik mungkin, untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam terjamin terutamanya dalam keadaan sekarang,” katanya lagi.
Sejak malam tadi, poster tentang ‘Himpunan Selamatkan UMNO #UndurZahid’ telah tersebar dan dipercayai akan diadakan selepas solat jumaat, hari ini.
Bagaimanapun, perhimpunan tersebut yang tidak diketahui siapa penganjurnya, sehingga kini, masih tidak kelihatan susulan kawalan ketat polis di kawasan ini. – KOSMO! ONLINE