fbpx

Aeril Zafrel risau ‘anxiety’, tangguh lawat Nad Zainal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AERIL Zafrel dan Nad Zainal pernah sama-sama terlibat dalam sebuah telefilem berjudul Mengharap Sebuah Keredaan pada 2017.

KUALA LUMPUR – Berhasrat untuk melawat aktres Nad Zainal yang kini dirawat di hospital, pelakon Aeril Zafrel bagaimanapun terpaksa menangguhkan niat tersebut kerana risau akan diserang keresahan melampau atau anxiety.

Kata Aeril, 34, masalah tersebut tercetus kerana pengalaman peribadi yang pernah dilaluinya sebelum ini.

“Sebenarnya saya ada anxiety bila melihat seseorang dalam keadaan sakit.

“Memang ada niat nak melawat Nad di hospital tetapi pada masa sama risau masalah tersebut menyerang semula,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui pada Viu Upront 2023 di sini, semalam.

Kongsi pemilik nama penuh Suhairil Sunari, 34, itu, masalah keresahan tersebut akan membuatkannya berrasa kurang senang terutama ketika melawat orang sakit.

“Saya rasa sesetengah orang faham perasaan itu macam mana iaitu apabila kita datang menziarahi orang sakit, akan wujud rasa tak senang.

“Apapun, insya-Allah. Saya memang nak melawat Nad. Kalau ada masa, saya akan cuba ke hospital,” katanya lagi.

Pelakon drama Jibril itu pada masa sama turut menyeru semua pihak sentiasa mendoakan Nad agar diberikan kesembuhan oleh Allah SWT.

“Ketika dengar dia dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU), memang terkejut sangat sebab nampak dia seperti tiada sebarang penyakit sebelum ini.

“Tambahan pula, Nad merupakan anak tunggal dan semestinya perkara itu satu dugaan yang berat untuk keluarganya.

“Malah, dia pun ada anak-anak yang memerlukannya. Teruskan berdoa untuk dia sebab dengan doa sahaja yang boleh menyelamatkan dia,” jelasnya.

Sebelum ini, Aeril dan Nad pernah bekerjasama membintangi sebuah telefilem berjudul Mengharap Sebuah Keredaan sekitar 2017.

Isnin lalu, Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, mengejutkan ramai apabila dimasukkan ke sebuah pusat perubatan swasta di ibu negara kerana jangkitan pada paru-paru.

Kemudian pada Selasa lalu, dia dilaporkan mengalami pendarahan pada paru-paru dan perlu ditidurkan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI