fbpx

Hujan lebat di Jeddah cetus banjir, 2 meninggal dunia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dua remaja meredah sebatang jalan yang dinaiki air ekoran hujan lebat di Jeddah, semalam. – AFP

JEDDAH – Sekurang-kurangnya dua orang meninggal dunia akibat hujan lebat yang melanda barat Arab Saudi semalam termasuk bandar tepi pantai, Jeddah.

Beberapa pegawai berkata, hujan lebat turut mengakibatkan banyak penerbangan ditunda dan sekolah ditutup.

“Dua kematian direkodkan setakat ini dan kami meminta orang ramai supaya tidak keluar rumah melainkan jika benar-benar perlu sahaja,” kata pentadbiran kota suci Mekah menerusi laman Twitter.

Rantau Mekah adalah termasuk Jeddah, yang merupakan bandar kedua terbesar di Arab Saudi dengan kira-kira empat juta penduduk. Ia juga termasuk kota Mekah yang menjadi tempat paling suci umat Islam di mana berjuta-juta orang Islam mengerjakan ibadah haji dan umrah setiap tahun.

Jalan utama menghubungkan kedua-dua bandar tersebut dan sering digunakan oleh jemaah untuk pergi di Mekah turut ditutup semalam, lapor media tempatan, sebelum dibuka semula selepas hujan reda.

Stesen penyiaran Al-Ekhbariya menyiarkan rakaman video menunjukkan jemaah di Masjidil Haram melakukan tawaf dan ibadah lain sekitar Kaabah dalam keadaan hujan lebat.

Di Jeddah pula, gambar yang dimuat naik di media sosial menunjukkan air hujan memenuhi jalan-jalan raya dengan sejumlah kenderaan turut tenggelam.

Pengendali Lapangan Terbang Antarabangsa Raja Abdulaziz menyatakan, cuaca buruk memaksa beberapa penerbangan ditangguhkan, manakala penumpang diminta menghubungi syarikat penerbangan masing-masing bagi mendapatkan jadual terbaharu.

Menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan, sehingga 179 milimeter taburan hujan direkodkan di Jeddah dalam tempoh enam jam dari pukul 8 pagi hingga 2 petang (waktu tempatan) semalam. Ia melebihi jumlah hujan semasa banjir besar pada November 2009.

Sementara itu, agensi berita Saudi Press Agency melaporkan bahawa sekolah-sekolah di Jeddah juga akan ditutup sementara berkutan hujan diramal berterusan sepanjang hari.

“Sekolah-sekolah di bandar berdekatan, Rabigh dan Khulais juga ditutup bagi menjamin keselamatan pelajar,” kata SPA.

Pelajar di Arab Saudi sedang menghadapi peperiksaan akhir tahun, namun sekolah-sekolah diberi cuti awal di seluruh negara pada Rabu lepas selepas Raja Salman mengisytiharkan cuti umum susulan kemenangan mengejutkan Arab Saudi ke atas Argentina dalam Piala Dunia di Qatar.

Hujan ribut dan banjir semasa musim sejuk berlaku hampir setiap tahun di Jeddah, di mana penduduk sudah lama mengadu tentang infrastruktur yang teruk. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI