fbpx

Janda nekad jual buah pinggang bayar hutang anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ER berada di tepi jalan untuk menjual buah pinggangnya. - Instagram

JAKARTA – Seorang wanita di Tuban, wilayah Jawa Timur nekad mahu menjual buah pinggang miliknya demi melangsaikan hutang anaknya yang kini hilang kerana melarikan diri, lapor laman berita Kompas semalam.

Wanita yang hanya dikenali sebagai ER itu dirakam berdiri di tepi sebatang jalan sambil memegang poster bertulis ‘Dijual ginjal’  atau mahu menjual buah pinggang yang turut disertakan dengan nombor telefonnya.

Dia kemudian dihampiri pasukan unit Polis Perkhidmatan Awam yang sedang meronda sebelum dibawa ke pejabat khidmat sosial untuk memberi keterangan.

Menurut ibu tunggal dengan tiga anak itu, dia mahu menjual buah pinggang untuk melunaskan hutang anak keduanya yang mencapai ratusan juta rupiah.

Dia terpaksa menanggung hutang anaknya  yang sudah lebih setahun melarikan diri kerana tidak sanggup membayar hutang tersebut.

“Hutang anak saya kira-kira 200 juta rupiah (RM57,300) dan sudah setahun lebih dia tidak membayar,” kata ER.

Tambah wanita tersebut, anaknya yang berusia 31 tahun itu membuat pinjaman untuk memulakan perniagaan namun, disebabkan tidak sanggup membayar jumlah hutang dan faedah pinjaman, dia kini ‘lesap’.

Katanya, meskipun menyedari bahawa tindakan menjual buah pinggang dilarang oleh pemerintah dan agama, dia tidak mempunyai pilihan lain kerana pihak pemiutang sering datang ke rumah untuk menuntut hutang anaknya.

“Saya ditagih hutang tersebut sehinggakan mereka datang ke rumah. Wang bayaran bulanan adalah berbeza, ada yang 800,000 rupiah (RM229) sehingga 1 juta rupiah (RM286),” katanya. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI