Setiap kali berada di lebuh raya, apabila memandu beriringan dengan sebuah kenderaan berat seperti treler pasti diri terasa begitu kerdil sekali.
Kisah duka lara daripada kemalangan jalan raya yang melibatkan kenderaan besar sejak beberapa bulan lalu sering menghantui pengguna jalan raya, sekali gus sedikit sebanyak memberi seribu keinsafan agar pemandu lain lebih berhemah dan berdisiplin.
Kumpulan pemandu lori ini dianggap sebagai pembawa kesedihan dan ‘malang’ kepada masyarakat sehingga imej pekerjaan tersebut dianggap sebagai bidang kerja kelas ketiga.
Berkesempatan berbual dengan seorang pengurusan kanan yang dikenali sebagai Ismail dan berpengalaman dalam bidang logistik lebih daripada 25 tahun baru-baru ini, penulis tertarik dengan pelbagai kisah berhubung industri berkenaan.
Antara segmen perniagaan yang dijalankan adalah perkhidmatan lori membawa muatan memasuki sempadan Thailand dan juga ke negara jiran di Singapura mengikut tempahan pelanggan telah menawarkan peluang pekerjaan kepada rakyat untuk menjadi pemandu lori.
Katanya, stigma dan persepsi negatif masyarakat terhadap bidang pekerjaan ini telah melenyapkan sedikit sebanyak peluang syarikat untuk menawarkan pekerjaan kepada golongan muda.
Apa yang pasti, bidang mencabar ini mampu menjana pendapatan lumayan lebih daripada RM5,000 sebulan itu selain mereka turut menikmati beberapa manfaat lain sama seperti pekerja lain.
Pengalaman kerja antara satu hingga tiga tahun diperlukan syarikat dengan ditawarkan pelbagai latihan dan bimbingan kepada pekerja selain kenderaan yang dinaiki mereka dilengkapi dengan semua ciri teknologi keselamatan yang moden serta canggih bagi membolehkan pemanduan tersebut selamat ke destinasi yang ditetapkan.
“Kami, tidak membenarkan pekerja memandu lori dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi kerana ia adalah masa kritikal yang dinamakan sebagai blackout time,” jelasnya.
Tidak hairanlah jika ramai pemandu yang memiliki pengalaman lebih daripada 15 tahun dalam bidang tersebut terus setia bersama syarikat berkenaan.
Namun, masalah yang dihadapi Ismail atau juga pemain utama dalam industri tersebut adalah untuk mencari pelapis pemandu baharu dan ia kini terbuka kepada mereka yang berminat untuk mencabar diri merebut peluang perniagaan bernilai tinggi itu.
Pemandu lori juga sama seperti kita, ada keluarga ada ibu dan ayah ada masa untuk bersama keluarga dan mereka mahu mencari pendapatan halal untuk memenuhi komitmen dan tabungan masing-masing.
Bagi Ismail, sekiranya sesebuah syarikat dan majikan mengambil berat dan bertanggungjawab menyediakan pengangkutan yang selamat dengan shif kerja yang terurus serta sistematik, maka kakitangannya juga dapat memandu dengan keadaan tenang dan bermotivasi.
Tidak semua pemandu lori mahu dikecam di jalan raya kerana ini adalah medan rezeki buat mereka.