fbpx

Dunia saksikan penularan wabak demam campak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas kesihatan memberikan vaksin kepada seorang kanak-kanak di sebuah kem vaksinasi sementara susulan penularan wabak campak di Mumbai, India, kelmarin. – AFP

GENEVA, SWITZERLAND – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) memberi amaran bahawa wabak demam campak menular di ­berbilang rantau di  seluruh dunia.

Perkembangan itu  didorong pandemik Covid-19 yang mengakibatkan penurunan berterusan dalam liputan vaksinasi untuk penyakit campak.

Menurut stesen penyiaran NBC, virus demam campak me­rupakan antara yang paling mudah berjangkit, namun hampir boleh dicegah sepenuhnya menerusi kempen vaksinasi.

Bagaimanapun,  liputan vaksinasi sebanyak 95 peratus diperlukan bagi mencegah wabak tersebut daripada terus menular dalam kalangan populasi.

WHO dan CDC menerusi satu laporan bersama yang dikeluarkan berkata, hampir 40 juta kanak-kanak tidak diberi suntikan vaksin demam campak pada tahun lepas, disebabkan oleh beberapa halangan semasa  pandemik Covid-19. 

Ketua Demam Campak WHO, Dr. Patrick O’Connor berkata, meskipun kes demam campak tidak meningkat dengan ketara berbanding tahun ­sebelumnya, kini adalah masanya untuk bertindak. 

“Kita berada pada persimpangan. Tempoh masa paling mencabar adalah antara  12 bulan hingga 24 bulan akan datang untuk kita mengurangkan penularan wabak ini,” ujarnya.

Gabungan beberapa ­faktor seperti langkah penjarakan fizikal yang masih diamalkan  dan sifat semula jadi kitaran demam campak mungkin menjadi punca  tidak berlakunya peningkatan ketara penyakit itu meskipun jurang imuniti semakin meluas.

“Namun, keadaan ini mungkin boleh berubah dengan pantas,” kata O’Connor sambil menekankan mengenai sifat penyakit itu yang mudah berjangkit.

Selain itu, WHO turut me­nyaksikan peningkatan wabak tersebut yang bermula sejak awal tahun  ini, dengan wabak demam campak merekodkan peningkatan daripada 19 insiden wabak kepada hampir 30 insiden wabak setakat September lalu.

Berdasarkan laporan sama,  seramai 25 juta kanak-kanak di seluruh dunia tidak menerima dos pertama vaksinasi, manakala 14.7 juta lagi tidak mendapat dos kedua.

Pada 2021, hanya 81 peratus kanak-kanak di seluruh dunia menerima dos pertama selain 71 peratus mendapat dos kedua. Ia merupakan kadar liputan global paling rendah bagi dos pertama sejak 2008.

Selain itu, lima negara dengan bilangan bayi paling ramai yang tidak menerima dos pertama ialah  Nigeria, India, Republik Demokratik Congo, Ethiopia dan Indonesia.

Kes demam campak kebia­saannya bermula dengan ­demam, namun penyakit itu se­ring dikenal pasti menerusi ruam yang merebak daripada muka dan leher selepas beberapa hari.

Virus campak boleh berada di ruang udara dan permukaan sehingga dua jam, manakala ­pesakit boleh menjangkiti orang lain sehingga empat hari sebelum atau selepas ruam muncul, demikian menurut WHO.

Pada 2021, sekitar 128,000 orang maut akibat demam ­campak di seluruh dunia. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI