fbpx

Piala Dunia: Croatia sedia bangkit buru kemenangan dua aksi berbaki

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MODRIC (kanan) percaya bahawa pasukannya mampu memberikan aksi lebih baik selepas terikat tanpa jaringan menentang Maghribi. – AFP

AL KHOR – Kapten Croatia, Luka Modric tetap yakin de­ngan peluang mereka pada Piala Dunia 2022 meskipun sekadar seri tanpa jaringan menentang Maghribi di Stadium Al Bayt kelmarin.

Keputusan itu sememangnya satu kejutan memandangkan Croatia mengharungi kempen kali ini dengan status selaku naib juara edisi Piala Dunia 2018 di Russia.

Bagaimanapun, Modric, 37, percaya mereka akan bangkit menunjukkan prestasi sebenar dalam dua baki aksi Kumpulan F menentang Kanada (28 November) dan Belgium pada 1 Disember ini.

“Croatia akan menjadi lebih baik apabila menghadapi perlawanan kedua. Kami tidak datang ke sini hanya sekadar untuk melengkapkan penyertaan.

“Impian kami cukup tinggi, tetapi kami mengambilnya satu demi satu perlawanan. Jangan salah faham kerana objektif kami lebih besar daripada hanya melepasi peringkat kumpulan,” katanya.

Perancang tengah Real Mad­rid itu muncul pemain paling tua Croatia pada usia 37 tahun 75 hari membuat penampilan di pentas Piala Dunia.

Modric juga mencipta nama selaku pemain pertama yang ber­aksi dalam kedua-dua saingan Kejohanan Euro dan Piala Dunia sepanjang tiga dekad.

Begitupun, bekas pemenang Ballon d’Or 2018 itu masih belum berpuas hati dengan rekod individu tersebut selagi tidak berjaya memastikan Croatia menjulang gelaran Piala Dunia. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI