AL KHOR – Penjaga gol Amerika Syarikat (AS), Matt Turner bimbang dengan ancaman yang mampu diberikan pemain sayap England, Bukayo Saka menjelang aksi kedua-dua pasukan di Stadium Al Bayt awal pagi esok.
Dua pemain Arsenal itu beraksi cemerlang bersama negara masing-masing pada aksi pertama Kumpulan B selepas Turner membantu AS mencatat seri 1-1 dengan Wales.
Saka pula berada dalam kelas tersendiri apabila diangkat sebagai pemain terbaik perlawanan selepas meledak dua gol buat England dalam kemenangan 6-2 ke atas Iran.
Dua jaringan itu membolehkan Saka muncul pemain termuda buat The Three Lions meledak dua gol di pentas Piala Dunia pada usia 21 tahun 77 hari.
Kini, Saka berpeluang menjadi pemain termuda England pada usia 21 tahun meledak gol dalam dua aksi berturut-turut di kejohanan antarabangsa sejak Michael Owen melakukannya pada 2002 ketika berusia 22 tahun.
Situasi tersebut membimbangkan Turner kerana penjaga gol berusia 28 tahun itu sememangnya mengetahui kualiti dan kemampuan Saka memandangkan mereka berlatih bersama di Arsenal.
“Jelas sekali dia (Saka) adalah bintang muda bola sepak masa kini. Dia juga berupaya menjaringkan gol dalam pelbagai cara dan perkembangannya kini sangat bagus.
“Saya baru bersamanya beberapa bulan, tetapi permainannya meningkat begitu menakjubkan. Anda tidak perlu beritahu saya bahawa dia akan menjadi ancaman utama buat kami,” katanya. –AGENSI