KUALA LUMPUR – Ramai pimpinan Perikatan Nasional (PN) berkumpul di kediaman Tan Sri Muhyiddin Yassin di Bukit Damansara di sini ketika ini.
Pelbagai jenis kenderaan membawa pimpinan PN dilihat memasuki kediaman tersebut bermula pukul 2.30 petang tadi.
Mereka tiba selepas Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim diumumkan sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-10.
Tinjauan Kosmo!, mendapati hanya Datuk Seri Mohd. Redzuan Md. Yusof dilihat meninggalkan pekarangan rumah tersebut selepas berada di situ selama hampir lima jam.
Kenderaan membawa Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu beredar pada pukul 2.53 petang tadi.
Terdahulu, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan melantik Anwar yang juga Presiden PKR sebagai Perdana Menteri. ke-10
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin memaklumkan, Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Mengangkat serta Menandatangani Sumpah Jawatan sebagai Perdana Menteri dijadualkan pada pukul 5 petang ini di lstana Negara. – KOSMO! ONLINE