KUALA LUMPUR – Bekas suami Nad Zainal, Faliq Amiruddin memaklumkan anak sulungnya, Fahad Ibrahim atau Yem ada bertanya tentang keadaan ibunya yang kini masih dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital KPJ Ampang Puteri sejak Isnin lalu.
Sepanjang Nad menerima rawatan di hospital, Faliq berkata, dua anaknya, Yem, 6, dan Budi Kalsom (Som) yang berusia setahun berada bawah jagaannya.
“Yem dan Som malam tadi memang ada dengan saya.
“Anak sulung ada juga bertanya tentang Nad tetapi saya hanya mampu tenangkan dan pujuknya sahaja buat masa ini,” katanya kepada Kosmo! Online ketika ditemui di pekarangan wad ICU di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengenai perkembangan kesihatan Nad yang sentiasa ingin diketahui semua orang, Faliq memaklumkan Nad menunjukkan perkembangan positif.
Meskipun semakin baik, Faliq, 34, enggan berasa selesa dengan keadaan tersebut.
Tambahnya, sepanjang tempoh rawatan, khidmat seramai tujuh orang doktor bertugas memantau dan merawat Nad.
“Nampak perkembangan yang baik tetapi kita tak boleh selesa sangat dan perlu banyakkan berdoa untuk dia.
“Hari ini seorang lagi doktor akan tiba untuk merawatnya,” katanya lagi.
Berkongsi lanjut, pendarahan pada bahagian paru-paru dan perut Nad juga semakin berkurangan.
“Alhamdulillah pendarahan semakin kurang pada bahagian pendarahan paru-paru.
“Setakat hari ini punca berlakunya pendarahan tersebut masih belum dapat dikenalpasti,” ujarnya.
Pemilik nama penuh Muhammad Faliq Amiruddin itu juga bersyukur kerana ramai rakan-rakan selebriti dan keluarga hadir melawat serta menitipkan doa buat bekas isterinya.
“Syukur dengan semua doa yang diberikan termasuk majlis bacaan Yasin yang diadakan oleh kawan-kawan Nad
“Hari ini saya mohon teruskan berdoa untuknya agar semangat dia melawan rasa sakit itu kuat,” ujarnya lagi.
Hasil tinjauan Kosmo! Online, beberapa selebriti tanah air seperti Ieda Moin dan Zarynn Min hadir menziarahi rakan seperjuangan mereka.
Pada Isnin lalu, Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin, 32, telah dimasukkan ke hospital susulan jangkitan kuman pada bahagian paru-paru.
Sementara, pada Selasa lalu, industri hiburan sekali lagi dikejutkan apabila Nad dilaporkan ditidurkan susulan mengalami pendarahan pada paru-parunya.
Sementara, teman rapatnya, Ungku Ismail semalam juga memaklumkan doktor mengesyaki Nad mengalami penyakit autoimun.
Terdahulu, Nad pernah dijangkiti Covid-19 sekitar Mac lalu namun tidak mengalami sebarang gejala yang teruk.
Sejak semalam, nama Nad menjadi bualan ramai termasuk dalam kalangan selebriti yang tidak berhenti mendoakan kesihatannya. – KOSMO! ONLINE