PETALING JAYA – Pengerusi DAP, Lim Guan Eng turut meminta maaf secara terbuka kepada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg dan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Di dalam satu hantaran Facebooknya hari ini, beliau memohon maaf kepada Premier Sarawak setelah Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook turut berbuat perkara yang sama pagi tadi.
“Saya memohon maaf sekiranya sebarang kenyataan saya telah menyinggung Premier Sarawak dan kerajaan GPS Sarawak. Masa depan negara mendahului segala-galanya.
“Kita sama-sama mengorak permulaan baru untuk berganding bahu demi memelihara kemajmukan, keterangkuman serta perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan budaya.
“Sama-sama kita mempertahankan Perlembagaan Persekutuan demi kebaikan semua di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak,” ujarnya.
Sebelum ini, Anthony Loke membuat kunjungan hormat di kediaman Pengerusi GPS dan Premier Sarawak, Abang Johari di Sarawak.
Di dalam pertemuan itu, beliau membuat permohonan maaf jika sebarang kenyataan yang pernah dibuat oleh mana-mana pemimpin DAP telah menyinggung perasaan kerajaan dan rakyat Sarawak. -KOSMO! ONLINE