KUALA LUMPUR – Ketua kumpulan nasyid Rabbani, Azadan Abdul Aziz, memberitahu ibunya, Khadijah Abdul Jamal, 81, kini koma selama tiga bulan akibat pembuluh darah pecah di otak.
Azadan berkata, ibunya yang kini dirawat di Hospital Sungai Buloh sudah menjalani lapan kali pembedahan di kepala, namun masih belum sedarkan diri.
“Emak saya dimasukkan ke hospital pada 26 Oktober lalu selepas dia tiba-tiba rebah ketika sedang berzikir. Doktor beritahu pembuluh darah di otak emak pecah.
“Selama tiga bulan ini, dia sudah jalani lapan kali pembedahan di kepala. Doktor mahu lakukan pembedahan lagi untuk ambil air tulang belakang tapi kami adik-beradik belum putuskan apa-apa,” ujarnya.
Penyanyi lagu Intifada itu berkata, dia dan adik-beradiknya sudah reda serta menerima segala kemungkinan yang akan berlaku terhadap ibu mereka.
“Doktor mahu buat beberapa prosedur lagi tapi kami rasa cukuplah sebab tak sanggup melihat keadaan dia. Jadi doktor benarkan kami bawa emak balik rumah dalam beberapa hari ini.
“Pihak hospital sudah buat yang terbaik dan minta kami terima segala kemungkinan. Jika panjang umur pun, emak sudah tidak sihat seperti dulu,” ujarnya.
Biarpun begitu, Azadan turut meluahkan rasa syukur kerana berpeluang menjaga ibunya di hospital setiap kali ada kelapangan.
“Sebenarnya saya sebak setiap kali mandikan emak dalam keadaan dia tidak sedarkan diri. Syukur Allah beri kesempatan ini untuk kami adik-beradik berbakti kepadanya.
“Saya nasihatkan kawan-kawan yang masih ada ibu bapa jaga dan hargailah mereka sehingga ke akhir hayat,” ujarnya.
Azadan berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Konsert 25 Tahun Rabbani di ibu kota, semalam.
Sementara itu, bercakap tentang konsert yang akan berlangsung pada 30 Disember depan, persembahan tersebut bertujuan menghargai peminat yang menyokong perjuangan seni Rabbani selama 25 tahun.
Konsert dengan kerjasama Yayasan Warisan Johor tersebut diadakan di Stadium Tertutup Majlis Bandaraya Pasir Gudang, Johor dengan turut menampilkan artis undangan Hijjaz, Mawi, Daqmie, Dinnie Juri dan Aeydan.
“Penganjuran konsert ini bertujuan meningkatkan kefahaman, kesedaran terhadap genre nasyid dan menanam semangat jati diri masyarakat melalui bait-bait dalam lirik lagu yang disampaikan,” ujarnya.
Tiket untuk konsert dijual pada harga serendah RM58, RM88, RM128 dan RM188.
Pembelian tiket boleh dibuat bermula 1 Disember depan menerusi laman web mytiket.asia. – KOSMO! ONLINE