fbpx

2 hari terperangkap di bawah runtuhan, budak 6 tahun ditarik keluar di sisi mayat nenek

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azka diselamatkan selepas dua hari terperangkap di bawah runtuhan rumah. – Pasukan Mencari dan Menyelamat Jawa Barat

JAKARTA – Seorang kanak-kanak berusia enam tahun ditarik keluar dari bawah runtuhan sebuah rumah dalam keadaan masih hidup meskipun terperangkap di bawah runtuhan itu selama dua hari, lapor stesen penyiaran CNN semalam.

Situasi itu memberi harapan kepada waris mangsa yang masih mencari orang tersayang selepas gempa bumi cetek menggegarkan rantau Cianjur, wilayah Jawa Barat pada Isnin lalu.

Badan Nasional Pengurusan Bencana (BNPB) berkata, anggota penyelamat menyelamatkan kanak-kanak bernama Azka Maulana Malik itu di kampung Nagrak, dalam daerah Cugenang.

Satu rakaman video menunjukkan situasi ketika kanak-kanak tersebut dibawa keluar oleh anggota penyelamat.

Dia ditemui bersebelahan dengan mayat neneknya, demikian menurut BNPB.

Azka kini dirawat di sebuah hospital di Cianjur, lapor media tempatan. Pasukan penyelamat sebelum ini telah membawa keluar mayat ibu bapa kanak-kanak lelaki tersebut.

Gempa bumi berukuran 5.6 pada skala Richter melanda Cianjur sekitar pukul 1.21 petang (waktu tempatan) pada kedalaman 10 kilometer, demikian menurut Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).

“Angka kematian kini meningkat kepada 271 orang,” kata Ketua BNPB, Mejar Jeneral Suharyanto dalam satu sidang akhbar semalam sambil menambah, lebih satu pertiga daripada mangsa yang maut adalah kanak-kanak.

BNPB juga telah mendirikan 14 khemah pelarian dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk penduduk yang hilang tempat tinggal.

Suharyanto berkata, mangsa-mangsa dijangka meninggalkan khemah sementara mereka dan berpindah ke khemah utama. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI