TANGKAK – Enam penumpang termasuk pemandu sebuah bas persiaran cedera apabila kenderaan dinaiki terlibat kemalangan dengan treler di Kilometer 144.6 Lebuh Raya Utara-Selatan, arah Selatan, Bukit Gambir di sini, awal pagi tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bukit Gambir, Penolong Penguasa Bomba Mohd. Farizan Mokhtar berkata, dalam kejadian pukul 5.45 pagi itu, pemandu bas mengalami cedera parah.
Katanya, lima yang lain pula cedera ringan.
Difahamkan, bas tersebut dalam perjalanan dari Perak menghala ke Johor Bahru dilaporkan telah merempuh belakang sebuah lori jenis Volvo.
“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi (PKO) di tempat kejadian didapati benar berlaku kemalangan jalan raya melibatkan sebuah bas dan sebuah lori Volvo yang mengakibatkan seorang mangsa iaitu pemandu bas berusia 40 tahun tersepit.
“PKO bertindak mengeluarkan mangsa dengan menggunakan peralatan menyelamat dan setelah berjaya, mangsa diserahkan kepada ambulans untuk dirawat di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF) Muar,” katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, baki 18 penumpang yang lain tidak mengalami sebarang kecederaan.
Mohd. Farizan berkata, seramai sembilan anggota bersama dua jentera dikejarkan ke lokasi kejadian dan operasi tamat pada pukul 7.16 pagi tadi. – KOSMO! ONLINE