fbpx

Jenaka Fikry Ibrahim, bukan adik Anwar Ibrahim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
JENAKA dibuat Fikry Ibrahim tentang Anwar Ibrahim bagaimanapun mengundang rasa kurang senang sesetengah netizen.

PETALING JAYA – Dalam keadaan politik negara yang masih berteka-teki tentang pemilihan Perdana Menteri (PM) ke-10, pelakon Fikry Ibrahim membuat jenaka bahawa dia tidak ada pertalian darah dengan presiden Pakatan Harapan, Anwar Ibrahim.

Pemilik nama lengkap Ahmad Fikri Ahmad Ibrahim, 28, itu berkata demikian dalam sebuah entri Instagram miliknya memaklumkan dia bukan adik kepada Anwar yang juga merupakan wakil Parlimen Tambun.

“Saya sebagai presiden parti menyangkal sekeras-kerasnya dakwaan bahawa saya Fikry Ibrahim adik Datuk Seri Anwar Ibrahim,” selorohnya.

Melalui kenyataan tersebut, Fikry turut menubuhkan partinya sendiri dengan nama ‘Gerakan Tak Gerak Tak Makan’ sebagai bahan lawak buat semua peminatnya yang serius menanti keputusan PM ke-10.

Hantaran tersebut mencuit hati para peminat termasuk rakan-rakan selebriti yang lain.

Selebriti Rozita Che Wan, Bella Dowanna, Anas Ridzuan dan Kodi Rasheed turut terhibur dan meninggalkan komen emoji tertawa disertakan dengan gelak besar.

Pun begitu, sebaliknya ada segelintir netizen yang tidak berpuas hati dengan tindakan pelakon Jesnita itu yang dianggap mempermainkan isu politik.

“Cukup-cukup Fikry mempermainkan ahli politik dan institusi diraja.

“Tindakan melawak atau ingin menarik perhatian pun agak-agak lah. Sikit-sikit okey lah tapi kalau sudah keterlaluan jadi melebih,” demikian komen pedas yang ditinggalkan oleh netizen.

Sebelum ini pada hari pengundian 19 November lalu, Fikry mencuri perhatian selepas memakai baju tertera tulisan berbunyi: “Haram syurga untuk pemimpian yang mati dalam keadaan menipu rakyatnya.”

Ramai netizen berminat dengan baju dipakai pelawak asal Kedah itu ketika membuang undi di Parlimen Kubang Pasu P006 dan mahu membuat tempahan secara pukal. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI