KUALA LUMPUR – Dua kenderaan rasmi Istana Pahang dan Perlis berangkat tiba di Istana Negara pagi ini bagi menghadiri Perbincangan Khas Majlis Raja-Raja berhubung isu pelantikan Perdana Menteri ke-10.
Kedua-dua kenderaan rasmi itu membawa Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail, keberangkatan kedua baginda pada pukul 10.20 pagi dan 10.30 pagi.
Ketika ini, lebih 50 pengamal media daripada pelbagai agensi berada di pekarangan pintu utama seawal jam 8.30 pagi bagi membuat liputan keberangkatan tiba dan perbincangan Raja-Raja Melayu itu.
Difahamkan ia adalah bagi membincangkan isu bakal calon Perdana Menteri baharu selepas Pemilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang diadakan. – KOSMO! ONLINE