SHAH ALAM – Tiga pengarah syarikat termasuk seorang wanita ditahan selepas disyaki membuat tuntutan palsu lebih RM100,000, hari ini.
Tuntutan palsu itu adalah bagi kerja-kerja keselamatan dan pembersihan membabitkan sebuah syarikat antara 2019 hingga 2021.
Menurut sumber, penahanan kesemua suspek berusia 53 hingga 65 tahun dilakukan kira-kira pukul 3 petang tadi ketika hadir memberi keterangan di Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
“Mereka yang berkhidmat sebagai pengarah syarikat dipercayai telah membuat tuntutan palsu bagi tempoh Oktober 2019 hingga Mac 2021 sedangkan kedua-dua kerja iaitu keselamatan dan pembersihan tersebut tidak dilaksanakan,” katanya di sini hari ini.
Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim mengesahkan penahanan tersebut dengan suspek wanita berusia 65 tahun
dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dengan seorang penjamin atas faktor usia dan kesihatan.
“Dua lagi suspek lagi akan dipohon reman di Mahkamah Majistret Shah Alam kira-kira pukul 9 pagi esok.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009,” jelasnya. – KOSMO!ONLINE