fbpx

Gali runtuhan rumah cari sisa pakaian, makanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota penyelamat mencari mangsa-mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan bangunan di Cianjur, kelmarin. - AFP

JAKARTA – Mangsa-mangsa kejadian gempa bumi di wilayah Jawa Barat, Indonesia merayu bantuan makanan dan bekalan air semalam, ketika anggota penyelamat bertungkus-lumus mencari mangsa yang masih terperangkap di sebalik runtuhan yang berkemungkinan masih hidup.

Rayuan itu disuarakan ketika pihak berkuasa memberi amaran bahawa sisa tanah runtuh yang disebabkan oleh gempa bumi di rantau Cianjur itu perlu dibersihkan menjelang hujan lebat yang diramal turun dalam beberapa minggu akan datang. Ia dikhuatiri mencetuskan bencana kedua selepas gempa bumi tersebut.

Dua hari selepas gempa yang mengorbankan sekurang-kurangnya 268 orang itu berlaku, penduduk masih cuba mencari barangan milik mereka seperti potret keluarga, buku-buku keagamaan dan sijil perkahwinan.

“Meskipun ada antara bekalan bantuan telah diterima, ia tidak mencukupi. Kami diberikan beras, mi segera dan air mineral namun, ia tidak mencukupi,” kata seorang penduduk, Mustafa kepada AFP.

Mustafa ketika itu baru sahaja menggali sisa runtuhan di rumah jirannya atas permintaan warga emas itu. Dia muncul sambil membawa timbunan pakaian sebelum kembali ke bahagian dalam rumah untuk membawa dapur gas, beras dan kuali.

“Kami tidak mempunyai pakaian untuk dipakai dan tidak menukar baju selama beberapa hari. 

“Jadi, saya terpaksa menggali di sebalik runtuhan rumah bagi mencari pakaian,” katanya.

Lebih 58,000 orang kini kehilangan tempat tinggal, kira-kira 1,000 cedera dan 151 masih hilang, dengan lebih separuh daripada mangsa yang terkorban masih belum dikenal pasti identiti mereka, demikian menurut Badan Nasional Pencegahan Bencana (BNPB).

Menurutnya, pemerintah telah membekalkan khemah dan beberapa bekalan lain kepada mangsa-mangsa yang kehilangan tempat tinggal. Selain itu, 12,000 anggota tentera turut dikerahkan semalam bagi membantu dalam kerja-kerja mencari dan menyelamat di samping pemberian bantuan.

“Bagi mangsa-mangsa yang kehilangan tempat tinggal, barangan keperluan asas untuk mereka perlu dijamin. Air dan makanan perlu ada,” kata Ketua BNPB,Suharyanto.

Bagaimanapun, penduduk turut membuat rayuan kepada pemerintah pusat bagi menghantar lebih banyak bekalan barangan keperluan.

“Anak saya mengalami demam dan dia tidak dapat makan. Terdapat ramai warga emas dan kanak-kanak di sini. 

“Anak-anak kecil memerlukan susu, lampin, makanan dan ubatan,” luah Yunisa Yuliani, 30.

Seorang lagi mangsa, Dede Masliyah, 45, yang berlindung di bawah khemah buatan sendiri pula berkata, mangsa-mangsa masih belum menerima sebarang bantuan disebabkan hujan lebat semalaman.

“Kami kekurangan makanan dan bekalan ubatan. Kami amat terdesak untuk mempunyai khemah yang sebaiknya kerana terdapat ramai bayi dan kanak-kanak di sini.

“Khemah kami bocor apabila hujan. Lebih 60 orang berlindung di sini. Kami masih belum menerima sebarang bekalan bantuan,” ujarnya.

Indonesia terdedah kepada kejadian tanah runtuh dan banjir kilat ketika musim hujan, yang telah pun bermula dan diramal mencapai kemuncak pada Disember ini di wilayah Jawa Barat. 

Cuaca ribut turut diramal melanda Cianjur beberapa minggu akan datang dan hujan telah pun turun semalaman. – AFP 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI