KOTA BHARU – Kira-kira 100 buah keluarga di Kampung Pulau Gajah, Sabak di sini terpaksa mengharungi banjir bertakung di laluan utama masuk ke kampung itu apabila berlaku hujan lebat.
Masalah ini berlaku sejak 30 tahun lalu setiap kali hujan lebat.
Meskipun hujan lebat dalam tempoh kurang daripada satu jam, air boleh bertakung di kawasan tersebut dalam tempoh seminggu sehingga menyebabkan jalan utama sejauh 400 meter tertutup.
Seorang penduduk, Ruslan Abdullah, 48, berkata, air boleh naik sehingga 0.3 hingga 0.5 meter sekali gus menyukarkan pergerakan kereta dan motosikal penduduk terutamanya untuk menghantar anak-anak ke sekolah pada waktu pagi.
Menurutnya, keadaan tersebut turut menyebabkan kenderaan penduduk mengalami kerosakan apabila terpaksa meredah air itu setiap kali berlakunya hujan lebat.
“Anak saya tidak ke sekolah semalam (kelmarin) apabila laluan itu bertakung dengan air. Sekiranya saya redah air itu dengan motosikal, sudah pastinya akan rosak kerana saya telah kerap menghadapi situasi ini.
“Sekiranya berlaku hujan dalam tempoh yang lama, kebanyakan penduduk meninggalkan kenderaan mereka di tepi jalan besar dan berjalan kaki untuk mengharung air pulang ke rumah,” katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Ruslan berkata, keadaan air bertakung di kawasan itu bertambah teruk sejak tiga tahun lalu apabila terdapat banyak projek pembinaan rumah yang melibatkan penimbunan tanah sehingga menutup laluan air untuk keluar.
Katanya, dia sudah beberapa kali membuat aduan kepada pihak berkuasa tempatan menerusi penghulu kampung, namun tiada sebarang tindakan dilakukan sehingga hari ini.
“Kebanyakan penduduk kecewa apabila masalah ini tidak dapat diselesaikan. Penduduk di 20 buah rumah di kampung ini sudah putus harapan apabila aduan kami seperti tidak diendahkan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Abu Bakar Mail, 58, berkata, dia mengeluarkan wang sendiri hampir RM5,000 untuk membina konkrit di hadapan rumahnya beberapa tahun lalu bagi mengelak air masuk ke dalam rumah apabila hujan lebat.
Katanya, bagaimanapun, binaan tersebut kini turut terhakis ekoran air yang bertakung itu.
Tambahnya, dia juga bimbang dengan keselamatan kerana haiwan berbisa terutamanya ular keluar disebabkan laluan tersebut dipenuhi semak. -KOSMO! ONLINE