Oleh MOHD. HUSNI MOHD. NOOR
PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 5 Disember depan sebagai tarikh pengundian bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) P.185 Batu Sapi, Sabah.
Pengerusi SPR, Datuk Abdul Ghani Salleh berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 23 November ini manakala, tarikh undi awal pada 1 Disember ini.
Beliau berkata, tempoh berkempen yang ditetapkan adalah 12 hari.
“SPR telah menyediakan satu garis panduan pencegahan Covid-19 bagi pelaksanaan pilihan raya selaras dengan Akta 342.
“Bagi PRK ini, SPR akan mencadangkan penambahbaikan garis panduan tersebut dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang berkuatkuasa di seluruh Sabah,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
Kerusi Parlimen Batu Sapi kosong susulan kematian penyandangnya mendiang, Datuk Liew Keong pada 2 Oktober lalu.
Kosmo! pada 3 Oktober lalu melaporkan Vui Keong, 60, meninggal dunia di Hospital Gleneagles Kota Kinabalu dipercayai akibat jangkitan kuman pada paru-paru.
Beliau yang lebih dikenali dengan panggilan VK Liew menghembus nafas terakhir kira-kira pukul 11.50 pagi. -K! ONLINE