fbpx

Pengerusi PFP didakwa perdagang 10 mangsa untuk eksploitasi kerja

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khar Giap (kiri) dan Yong Choon tiba di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini. SITI NUR MAS ERAH AMRAN

SEBERANG PERAI – Bekas ahli politik yang juga Pengerusi Penang Front Party (PFP) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Butterworth di sini hari ini atas 10 pertuduhan memperdagangkan 10 warga tempatan bagi tujuan eksploitasi kerja, sembilan bulan lalu.

Tertuduh, Datuk Ooi Khar Giap, 55, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Noor Aini Yusof.

Turut didakwa atas kesalahan sama ialah seorang wanita, Chye Lay Hoon, 52.

Menurut pertuduhan, pengarah syarikat dan pengurus sumber manusia itu didakwa dalam mencapai niat bersama telah memperdagangkan 10 warga tempatan bagi tujuan buruh paksa di sebuah premis di Taman Tangling Indah, Simpang Ampat di Seberang Perai Selatan (SPS).

Kedua-dua tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu dari 14 Februari 2022 sehingga 27 Oktober lalu.

Mereka dituduh mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, turut dihadapkan ke mahkamah berkenaan ialah dua pekerja pengarah syarikat iaitu Lim Yong Choon, 47 dan Woong Chew Hoe,40. Masing-masing turut mengaku tidak bersalah atas 20 pertuduhan bersubahat bersama dua tertuduh dengan memperdagangkan orang bagi tujuan eksploitasi kerja pada tarikh dan tempat yang sama.

Yong Choon dan Chew Hoe didakwa mengikut Seksyen 109 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Hakim membenarkan keempat-empat tertuduh diikat jamin RM362,000 dengan seorang penjamin dan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran setiap bulan selain pasport diserahkan kepada mahkamah.

Mahkamah kemudiannya menetapkan 4 Januari depan untuk sebutan semula kes. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI