PETALING JAYA – Perbuatan kejam seorang wanita warga Indonesia memukul seekor kucing jalanan (stray cat) menggunakan penyapu sehingga mati berbalas apabila dia dihukum penjara enam bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini.
Hakim Azrul Darus menjatuhi hukuman itu terhadap Hotimah, 60, selepas peniaga pisang goreng tersebut mengaku bersalah atas pertuduhan yang disabitkan ke atasnya.
Mahkamah memerintahkan hukuman penjara itu bermula dari tarikh jatuh hukuman hari ini.
Hotimah selaku orang kena saman (OKS) didapati dengan kejam memukul kucing jantan menggunakan penyapu pukul 7.45 pagi, 20 Ogos lalu di sebuah kedai tidak bernombor tepi jalan, Serdang Jaya, Seri Kembangan di sini.
Bagi kesalahan itu, OKS didakwa mengikut Seksyen 29(1)(a) Akta Kebajikan Haiwan 2015 (akta 772) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta sama.
Seksyen itu memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya.
Terdahulu, Hotimah yang tidak diwakili peguam merayu agar dikenakan hukuman ringan dengan alasan menghidap sakit jantung.
Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Vaterinar Selangor, Mohd. Sharif Sabran bagaimanapun memohon hukuman berat sebagai pengajaran kepada OKS.- KOSMO! ONLINE