PETALING JAYA – Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menafikan dakwaan peletakan jawatan seperti yang dinyatakan dalam surat palsu tersebar melalui media sosial.
Berdasarkan hantaran Facebook, beliau memohon supaya tidak mengeruhkan lagi keadaan.
“Surat yang telah disebarkan seperti berikut adalah palsu dan rekaan manusia yang tidak bertanggungjawab. Mohon doakan yang terbaik untuk dalam keadaan sekarang ini,” tegasnya hari ini.
Mengikut surat palsu tersebut, ia mendakwa kononnya satu mesyuarat tergempar telah diadakan dengan dihadiri oleh pemimpin utama setiap parti gabungan Barisan Nasional (BN) dan pimpinan tertinggi BN.
Selain itu, ia mendakwa beberapa keputusan telah dicapai untuk menentukan gabungan mana yang akan disokong BN, sama ada Perikatan Nasional (PN) atau Pakatan Harapan (PH) pada hari ini.
Dalam surat palsu tersebut, turut didakwa Ahmad Zahid dengan berat hati meletakkan jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO atas dasar tanggungjawab di atas kekalahan besar BN pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Malah, ia turut mendakwa Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob akan memangku jawatan sebagai Pengerusi BN dan Presiden UMNO sehingga pemilihan UMNO diadakan pada Januari 2023. – KOSMO! ONLINE