IPOH – Kegiatan mengedar dadah oleh sekumpulan tujuh individu termasuk seorang wanita sejak empat bulan lalu di sekitar daerah ini terhenti apabila berjaya dicekup polis semalam.
Kesemua suspek berusia 26 hingga 48 tahun itu ditahan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJ) Kontinjen Perak di kawasan Sunway City dekat Tambun pada pukul 1 pagi.
Ketua Polis Perak, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri berkata, serbuan pertama di hadapan sebuah rumah pada mulanya berjaya menahan tiga lelaki berusia 35 hingga 45 tahun.
Katanya, pemeriksaan di dalam kereta telah membawa penemuan 10,190 gram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai RM713,300.
“Susulan tangkapan itu, kita menyerbu sebuah rumah di kawasan berhampiran dan menahan tiga lelaki dan seorang wanita berusia 26 hingga 48 tahun yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan.
“Ujian saringan air kencing mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak di sini hari ini.
Menurutnya, semakan rekod kesalahan lampau mendapati empat suspek juga mempunyai rekod lampau bersabit kes dadah dan jenayah.- KOSMO! ONLINE